Bagi menyokong pegawai polis yang beroperasi dalam persekitaran yang mencabar dan memerlukan tahap kecekapan yang tinggi, Jabatan Perkhidmatan Psikologi Polis (PPSD) telah meningkatkan usaha membina kesejahteraan mental pegawai polis.
Ini termasuk memantau semangat dan meningkatkan daya tahan psikologi dalam pengurusan tugas pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) serta membina kecekapan kepimpinan mereka.
Dalam tempoh 22 tahun lalu, bilangan parakaunselor, atau sukarelawan terdiri daripada pegawai polis yang terlatih dalam isu emosi dan psikologi, telah meningkat daripada 100 kepada 460 hari ini.
Selain itu, terdapat 200 Pegawai Penjagaan Mangsa (VCO) pada masa ini yang membantu kira-kira 150 hingga 180 mangsa jenayah setahun secara purata.
Demikian didedahkan SPF semasa sesi bersama media pada 19 Disember di New Phoenix Park.
PPSD menyambut ulang tahun ke-30 pada 2023, setelah bermula sebagai Unit Psikologi Polis pada 1993.
Ia bermula sebagai unit kecil yang menawarkan latihan pengurusan tekanan dan perkhidmatan kaunseling, tetapi telah berkembang untuk membangunkan program sokongan, latihan dan rangka kerja yang membina daya tahan pegawai.
“Salah satu inisiatif terbaru bagi meningkatkan sokongan profesional bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental ialah perkhidmatan psikiatri dalaman HomeTeam yang ditubuhkan pada Julai 2023,” kata Ketua Pakar Psikologi dan Penolong Pengarah di PPSD, Cik Ho Hui Fen.
Menurut SPF, PPSD juga menyediakan latihan menyeluruh kepada parakaunselor dengan kemahiran dalam bidang kaunseling kewangan serta komunikasi. Mereka juga dilatih campur tangan dalam krisis dan bunuh diri.
Selain itu, PPSD mengadakan kursus dan latihan psikologi untuk penyelia dan pemimpin agar memperkuat kemampuan menjaga anak buah, mengenal pasti anggota yang mungkin mengalami kesulitan, serta memberikan galakkan dengan merujuk mereka kepada sumber yang tepat dan memantau prestasi di tempat kerja.
Apabila krisis berlaku, ahli psikologi PPSD, ahli psikiatri HomeTeam atau pihak profesional relevan luar boleh diaktifkan dan bekerjasama dengan parakaunselor untuk menyokong unit, pegawai, pemimpin dan ahli keluarga yang terjejas.
Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC) Polis Tay Wee Li memberi contoh seorang pegawai polis yang menghadapi masalah kewangan kerana memikul banyak tanggungjawab sebagai pengasuh dan pencari nafkah tunggal yang harus membayar bil ahli keluarga dengan pelbagai masalah kesihatan.
Namun, dengan bantuan penyelia, parakaunselor dan pekerja sosial, mereka dapat mencari penyelesaian yang mampan seperti merujukkannya kepada bantuan kewangan dan membantu menguruskan penjagaan kesihatan ahli keluarganya.
DAC Tay, yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Parakaunselor berkata:
“Kami berharap dapat mewujudkan budaya di mana rakan sekerja saling menjaga dan berasa selamat untuk memanfaatkan pelbagai sumber yang tersedia untuk mendapatkan bantuan dan kaunseling jika mereka menghadapi masalah.”
“Kami gembira melihat peningkatan kesedaran dalam kalangan pegawai polis mengenai kepentingan kesihatan mental. Ramai di antara mereka kini menunjukkan minat menjadi parakaunselor dan memberikan sokongan kepada rakan sekerja.”
“
“Salah satu inisiatif terbaru bagi meningkatkan sokongan profesional bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental ialah perkhidmatan psikiatri dalaman HomeTeam yang ditubuhkan pada Julai 2023.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg