Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki bawa masuk 58 kura-kura bintang ke S’pura dijel 16 bulan

Dec 11, 2024 | 5:49 PM
Daripada 58 ekor kura-kura bintang India yang dirampas, salah seekor kura-kura tersebut ditemui mati, sementara 22 lagi dinilai sebagai “kurus”.
Daripada 58 ekor kura-kura bintang India yang dirampas, salah seekor kura-kura tersebut ditemui mati, sementara 22 lagi dinilai sebagai “kurus”. - Foto NPARKS

Seorang lelaki berada di India apabila dia bersetuju untuk membantu rakannya menghantar sebuah beg ke Indonesia selepas rakannya mendakwa beg tersebut mengandungi pakaian wanita.

Namun, beg itu mengandungi 58 kura-kura bintang India, yang ditemui apabila warga India tersebut, Abdul Jaffar Haji Ali, 40 tahun, tiba di Lapangan Terbang Changi pada 29 Ogos untuk mengambil penerbangan seterusnya ke Jakarta.

Salah seekor kura-kura tersebut ditemui mati, sementara 22 lagi dinilai sebagai “kurus”.

Menurut ensiklopedia haiwan dalam talian, Animalia, kura-kura bintang India adalah spesies yang terancam.

Pada 10 Disember, Jaffar dijatuhi hukuman penjara selama satu tahun empat bulan selepas mengaku bersalah kerana mengimport kura-kura itu secara haram ke Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Pendakwa Lembaga Taman Negara (NParks), Encik Lim Chong Hui, memberitahu mahkamah bahawa Jaffar sebelum itu telah merancang ke Jakarta untuk bercuti dan membeli beberapa pakaian wanita untuk perniagaannya di India.

Rakan yang dikenali dalam dokumen mahkamah sebagai ’Bhai’ membantu Jaffar dengan semua urusan logistik perjalanan, termasuk membayar tiket penerbangannya dan mengatur penginapannya.

Sebagai balasan, Bhai meminta bantuan Jaffar menghantar sebuah beg ke Jakarta, dan seorang penerima akan bertemu Jaffar untuk mengambilnya.

Jaffar berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai pada 28 Ogos apabila Bhai tiba sekitar 9 pagi dan menyerahkan beg tersebut.

Jaffar tidak bertanya Bhai mengenai kandungan beg tersebut. Namun, Bhai secara sukarela memberitahunya bahawa beg itu mengandungi pakaian wanita.

“Tertuduh tidak memeriksa kandungan beg tersebut untuk mengesahkan apa yang Bhai katakan dan terus mendaftar masuk beg itu sebelum menaiki penerbangannya,” kata Encik Lim.

Pada 29 Ogos, Jaffar tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi, tempat dia sepatutnya menaiki penerbangan sambungan ke Indonesia.

Semasa pemeriksaan, pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menemui sesuatu yang mencurigakan dalam beg tersebut.

Beg itu dibuka di hadapan Jaffar dan 58 ekor kura-kura ditemui di dalamnya.

Haiwan tersebut dirampas dan dihantar ke Pusat Pemulihan Hidupan Liar NParks.

Seorang doktor haiwan kemudiannya mendapati cara pengangkutan kura-kura tersebut ke Singapura tidak sesuai.

Menurut beliau, keadaan pengangkutan tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan dalam garis panduan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) mengenai pengangkutan haiwan yang selamat dan berperikemanusiaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg