Seorang penunggang motosikal wanita berusia 23 tahun dibawa ke hospital selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan motosikalnya dengan sebuah van di Bukit Batok pada petang 24 November.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan polis berkata mereka mendapat laporan mengenai kemalangan yang berlaku di persimpangan Bukit Batok West Avenue 5 dan Bukit Batok West Avenue 2 itu, pada sekitar 2 petang.
Penunggang motosikal itu dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong dalam keadaan sedar, lapor The Straits Times (ST).
Menurut polis, seorang pemandu van lelaki berusia 69 tahun sedang membantu dalam siasatan yang masih dijalankan.
Dalam satu video yang dimuat naik ke akaun Facebook SG Road Vigilante, seorang penunggang motosikal dilihat sedang menunggu di lampu isyarat apabila sebuah van hitam datang dari belakang dan melanggar motosikal tersebut.
Penunggang wanita itu tercampak ke udara buat seketika sebelum jatuh dari motosikalnya.
Motosikal itu kemudian dilihat terjatuh di atas permukaan jalan, sementara penunggang itu terbaring di sisi motosikal tersebut.
Sementara itu, data trafik terkini menunjukkan penunggang motosikal dan pejalan kaki warga emas terus terlibat dalam kemalangan pada kadar lebih tinggi berbanding pengguna jalan raya lain.
Bilangan nahas membabitkan penunggang motosikal meningkat 7.8 peratus kepada 3,191 pada 2025, berbanding 2,960 pada 2024.
Manakala kemalangan melibatkan pejalan kaki warga emas melonjak 17.8 peratus kepada 179, berbanding 152 pada 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg