Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki cedera parah di AYE beberapa hari sebelum pindah ke rumah BTO

Jun 6, 2025 | 4:59 PM
Encik Muhammad Ammaar Ayub Ismail terlibat dalam nahas motosikal pada 26 Mei, beberapa hari sebelum sepatutnya berpindah masuk ke flat Bina Ikut Tempahan (BTO) barunya bersama isteri dan anaknya.
Encik Muhammad Ammaar Ayub Ismail terlibat dalam nahas motosikal pada 26 Mei, beberapa hari sebelum sepatutnya berpindah masuk ke flat Bina Ikut Tempahan (BTO) barunya bersama isteri dan anaknya. - Foto ihsan oleh NUR SADIYAH ABDUL NAZAR

Hasrat Encik Muhammad Ammaar Ayub Ismail, 28 tahun, untuk berpindah ke flat Bina Ikut Tempahan (BTO) barunya bersama isteri dan anak perempuan mereka yang berusia sembilan bulan tertangguh apabila beliau terlibat dalam kemalangan motosikal beberapa hari sebelum itu.

Eksekutif kanan dalam bidang penjagaan kesihatan itu sedang menunggang motosikalnya pulang dari Johor Bahru pada 26 Mei apabila beliau terlibat dalam kemalangan di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) menghala ke Marina Coastal Expressway (MCE).

Bercakap dengan Berita Harian dari katil hospitalnya di Hospital Universiti Nasional (NUH),Encik Ammaar berkata beliau hilang ingatan mungkin menyusuli nahas itu.

Katanya memori terakhirnya adalah apabila beliau telah menghantar mesej kepada pereka dalaman rumah BTO itu untuk temu janji di Hougang pada tengah hari itu.

“Itulah yang saya masih ingat dengan jelas. Saya memang dalam perjalanan ke sana, pulang daripada JB setelah mengisi minyak,” katanya yang telah pulang menggunakan laluan Linkedua.

Pihak polis mengesahkan insiden itu dan berkata mereka telah dimaklumkan pada 1.45 tengah hari mengenai kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal yang dipercayai terbabas sendiri di ekspreswe AYE menghala ke MCE.

“Penunggang motosikal berusia 28 tahun itu telah dihantar ke hospital dalam keadaan sedar. Siasatan polis sedang dijalankan,” menurut kenytaan polis kepada BH.

Encik Ammaar mengalami kecederaan serius termasuk tulang pinggul terkeluar, patah tulang femur kiri, serta luka dan lecetan teruk di seluruh badannya.

Beliau menjalani pembedahan untuk menggantikan sendi pinggul pada hari yang sama dan kini menjalani fisioterapi.

Menurut Isterinya, Cik Nur Sadiyah Abdul Nazar, 26 tahun, pembedahan itu berlangsung sekitar tujuh jam.

Apa yang menyayat hati Encik Ammaar bukanlah kesakitan, tetapi masa kejadian.

“Kami tunggu empat tahun untuk rumah ini. Isteri saya berpindah masuk pada Sabtu (31 Mei) bersama anak dan ibu mentua saya. Saya sepatutnya pindah bersama dengan mereka pada hujung minggu itu. “Sebaliknya, saya sedar di katil hospital dalam keadaan keliru dan kesakitan,” kata Encik Ammaar dengan sedih.

Cik Sadiyah juga turut mengongsi kesedihan Encik Ammaar lalu berkata: “Rumah ni sangat bermakna untuk kami. Beliau nampak kuat, tapi saya tahu beliau sedih. Saya pun sedih sebab tidak sangka semua ini akan berlaku.”

Walaupun melalui trauma yang dahsyat, Encik Ammaar tetap bersemangat.

“Saya beritahu isteri saya supaya nikmati rumah baru itu untuk saya juga. Rumah itu miliknya sama seperti milik saya,” ujar Encik Ammaar yang telah dibenarkan pulang pad 6 Jun setelah 12 hari dirawat di hospital.

Pasangan itu memohon bantuan orang awam yang berada di kawasan kejadian pada masa itu, sama ada sebagai saksi atau mempunyai rakaman kamera, untuk tampil membantu siasatan polis.

Sementara siasatan masih berjalan, Encik Ammaar kini fokus pada proses pemulihan — dari segi fizikal dan emosi. “Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Saya cuma perlu sembuh, demi keluarga saya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg