Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jual ‘hotdog’ dari tingkap rumah, mirip konsep trak makanan

Mohamed Rafeek putuskan mulakan perniagaan itu semasa dalam proses cari kerja
Jun 6, 2025 | 4:33 PM
Encik Mohamed Rafeek R M Abdul Sukkur, 49 tahun, membuka perniagaan dari rumah (HBB) menjual roti hotdog dan nachos, mirip dengan konsep trak makanan.
Encik Mohamed Rafeek R M Abdul Sukkur, 49 tahun, membuka perniagaan dari rumah (HBB) menjual roti hotdog dan nachos, mirip dengan konsep trak makanan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dari sebuah flat HDB tingkat satu di Tampines, Encik Mohamed Rafeek R M Abdul Sukkur telah mencuri perhatian media sosial selepas membuka perniagaan makanan berkonsep ‘street food’ dari tingkap rumahnya.

Perniagaan kecil yang dinamakan Window Bites di Blok 834 Tampines Street 82 itu menawarkan hotdog dan nachos dari tingkap rumahnya, menarik perhatian penduduk sekitar dan netizen kerana keunikan serta semangat juangnya.

Beliau memutuskan memulakan perniagaan itu semasa dalam proses mencari pekerjaan tetapi tidak berhasil sebelum ini.

“Saya telah menghantar lebih daripada 200 resume tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas. Usia saya dan latar belakang kerja sebelum ini mungkin menjadi halangan,” kongsi bekas pengarah acara itu, 49 tahun, dengan pengalaman hampir 30 tahun dalam bidang acara.

Berbekalkan inspirasi daripada keluarganya dan cita-cita lamanya untuk memiliki trak makanan – satu konsep yang sukar direalisasikan di Singapura – beliau memutuskan untuk memulakan sesuatu dari rumah.

Tingkap ruang tamunya kini berfungsi seperti kaunter trak makanan, lengkap dengan perbualan ringkas dengan pelanggan yang berdiri di bawah.

Mirip dengan konsep trak makanan, pelanggan mengambil makanan dari bawah tingkap.
Mirip dengan konsep trak makanan, pelanggan mengambil makanan dari bawah tingkap. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Menu Window Bites terdiri daripada hotdog klasik berharga serendah $3, hinggalah set kombo dengan nachos dan daging chilli berharga $11.

“Ramai yang lalu lalang akan berhenti sebab mereka rasa pelik dan teruja. “Eh, ada orang jual hotdog dari tingkap rumah!”,” katanya sambil ketawa.

Sejak bermula pada 28 Mei, pelanggan datang dari blok-blok berdekatan, termasuk jirannya yang tinggal seblok.

View post on TikTok

“Ramai jiran yang dulu saya tak kenal, kini dah mula menegur dan menyokong,” tambahnya. Malah, ramai pelanggan kini membuat pra-tempahan melalui WhatsApp.

Encik Rafeek telah muat naikkan video di TikTok mengenai Window Bites dan ia telah meraih lebih 100,000 tontonan dalam beberapa hari.

Walaupun kafe miliknya di Jakarta, Kopi Dua Singa, masih beroperasi, hasilnya tidak mencukupi untuk menampung kehidupan di Singapura.

Kombo roti hotdog dan nachos daging keju - $11.
Kombo roti hotdog dan nachos daging keju - $11. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Namun pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya menjadi pengajaran dan pemangkin untuk terus mencuba.

“Bila kita tiada pendapatan untuk beberapa bulan, ia boleh menjejas kesihatan mental. Tapi dengan mula buat sesuatu – walau kecil – kita mungkin membuka pintu peluang yang lebih besar,” katanya.

Dengan sokongan keluarga, termasuk empat orang anak yang menjadi “pelanggan tetap” di rumah, beliau kini merancang menawarkan katering dan menjayakan acara korporat.

“Yang penting kita cipta nilai. Kalau saya jual $11, saya pastikan pelanggan buka bungkusan dan rasa berbaloi,” ujarnya.

Daripada tekanan hidup muncul satu inspirasi: jika peluang tidak datang mengetuk, cipta sendiri pintunya — atau dalam kes Encik Rafeek, bukalah tingkap.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg