Kali pertama Encik Zaini Omar kenal dengan abang-abangnya sendiri ialah sewaktu bapa mereka meninggal dunia pada 1980 di Jeram, Kuala Selangor.
Namun, Encik Zaini, kini 61 tahun, terputus hubungan dengan adik beradik kandung sebapa, tetapi berlainan emak itu.
“Saya pernah ke Singapura dan berjumpa dengan abang-abang saya pada 1985, dan saya ingat Abang saya Sani tinggal di Jurong manakala Hashim tinggal di Woodlands.
“Malangnya, mereka mungkin dah bertukar nombor telefon, atau berpindah, itulah kali terakhir saya berjumpa dan bercakap dengan mereka,” terang Encik Zaini, bapa kepada dua orang anak, kepada Berita Harian.
Bapa Encik Zaini, Allahyarham Encik Omar Ahmad ialah warga Singapura yang meninggal kira-kira pada umur 63 tahun, dan dipercayai lahir pada tahun 1917.
Beliau mempunyai adik beradik lain bernama Ali Ahmad, Abdullah Ahmad, Yusuf Ahmad dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai ‘Mak Pah’, yang masih menetap di Singapura.
Allahyarham pernah beristeri sebanyak tiga kali di Singapura, dan menurut Encik Zaini, perkahwinan pertama dan kedua berakhir dengan kematian si isteri. Allahyarham juga mempunyai seorang anak lelaki setiap isteri – Encik Mohd Noh Omar (daripada isteri pertama), dan Encik Hashim (daripada isteri kedua).
Perkahwinan ketiga, berakhir dengan perceraian, dan seorang anak lelaki, yang dikenali sebagai Encik Sani Omar.
Menurut keterangan Encik Zaini, bapa beliau mempunya empat orang isteri, dan yang terakhir dari Selangor merupakan ibunya, yang juga melahirkan empat anak kandung Allahyarham Encik Omar, termasuk Encik Zaini, anak kedua.
“Saya tidak tahu kenapa bapa kami berpindah ke Malaysia, itu masih menjadi tanda tanya, tapi saya ingin betul bertemu dengan abang-abang saya sebelum terlambat,” kata Encik Zaini yang difahamkan abang sulungnya, Encik Mohd Noh sudah meninggal dunia.
“Kalau yang lain masih hidup, mereka mungkin dalam lingkungan 70-an tahun juga,” terang Encik Zaini seorang pesara kerajaan.
Mereka yang ada informasi tentang abang-abang Encik Zaini atau saudara-mara terdekat Allahyarham Encik Omar Ahmad, boleh emel kepada zaininadi64@gmail.com.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg