Ketika kecil dahulu, Cik Nabila Weldanie Abdul Hamid selalu dihantar ke rumah orang lain untuk dijaga.
Beliau membesar di bawah jagaan neneknya dan apabila warga emas itu tidak sihat, beliau akan dihantar ke rumah ibu saudara atau kenalan neneknya.
Justeru apabila dihantar ke rumah sepasang suami isteri yang tidak dikenali ketika berumur sembilan tahun, Cik Nabila yakin beliau akan dapat pulang ke rumah neneknya dalam masa beberapa hari.
Namun hari menjadi minggu dan berlarutan menjadi bulan. Cik Nabila mula sedar yang beliau akan dijaga pasangan tanpa anak itu buat tempoh yang lama.
“Saya sudah biasa duduk di rumah orang lain. Jadi pada mulanya saya bersembang dengan ibu titipan saya yang tanyakan pelbagai soalan tentang diri saya, seperti berapa ramai adik-beradik saya dan sebagainya.
“Tapi apabila saya mendapat tahu yang saya tidak lagi boleh tinggal dengan nenek atau keluarga saya untuk tempoh yang lama, kelakuan saya mula berubah.
“Saya dirikan tembok di keliling saya, saya tidak beritahu ibu bapa titipan saya tentang apa yang saya perlukan.
“Saya tunjuk muka, tidak mahu makan,” singkap Cik Nabila, 27 tahun, dalam perkongsian panel di acara rumah terbuka Jom! Pesta Titipan pada 17 Mei.
Beliau, anak ketiga dalam keluarga empat beradik, dijaga keluarga titipan itu hingga dilepaskan daripada penjagaan titipan pada umur 18 tahun.
Adik perempuannya juga dijaga keluarga titipan yang sama.
Beliau tidak berkongsi sebab diletakkan di bawah penjagaan keluarga titipan.
Ahli terapi tingkah laku bagi kanak-kanak autistik itu kini tinggal berdua dengan adiknya di rumah sewa.
Semasa perkongsiannya di hadapan sekitar 160 hadirin termasuk pasangan yang berminat menjadi keluarga titipan, Cik Nabila beberapa kali menahan sebak ketika mengenangkan jasa ibu bapa titipannya serta nasib anak-anak titipan sepertinya.
Beliau berkongsi, setelah sekitar setahun ‘membatukan diri’, hatinya akhirnya menjadi lembut setelah melihat kebaikan dan kesabaran ibu bapa titipannya.
“Saya sedar yang mereka akan ada dalam hidup saya untuk tempoh yang lama.
“Dan mereka selalu memberitahu saya, walau apa pun yang saya lakukan, apa pun kelakuan yang saya tunjukkan, mereka tidak akan pergi,” kata Cik Nabila yang menghargai pengorbanan ibu bapa titipannya menjaga anak titipan yang lebih besar, dengan pelbagai cabaran meningkat remaja yang perlu dihadapi.
Cik Nabila berkata ibu bapa titipannya itu bukan jenis yang meluahkan kata-kata sayang, sebaliknya menunjukkan kasih sayang mereka melalui nasihat yang diberikan.
Beliau berkongsi, hanya melalui gerak-gerinya, ibu titipannya tahu yang beliau dilamun cinta dan menasihatinya bahawa perkara itu tidak seharus menjadi tumpuannya pada masa tersebut.
“Beliau menasihatkan saya bahawa saya sepatutnya memberi tumpuan membuktikan kepada orang lain bahawa saya boleh berjaya dalam hidup.
“Ibu titipan saya selalu berpesan kepada saya agar menulis sendiri jalan hidup saya,” ujar lulusan diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak itu.
Cik Nabila berkata apa yang membuatnya menerima ibu bapa titipan dalam hidupnya adalah apabila beliau mula berasa selamat, bukan untuk sebulan dua tetapi untuk tempoh yang lama.
Kanak-kanak titipan berasa takut kerana telah “ditolak oleh ibu bapa dan keluarga sendiri”, katanya.
Beliau menekankan bahawa masa, kebaikan dan kesabaran amat membantu menghilangkan rasa takut dalam diri kanak-kanak sebegini.
Cik Nabila menambah bahawa ibu bapa titipan bukan sekadar membuka rumah mereka kepada anak titipan, bahkan membuka hati mereka untuk membantu menulis semula jalan hidup kanak-kanak itu.
“Mereka bukan hanya memerlukan bumbung di atas kepala mereka.
“Apa yang mereka perlukan adalah rasa selamat dan rasa yang mereka layak disayangi.
“Ibu bapa titipan boleh memberi apa yang mereka perlukan itu.
“Ibu bapa titipan boleh menjadi titik perubahan dan sebab kanak-kanak itu boleh berjaya dalam hidup,” katanya.
Cik Nabila kini masih berhubung dengan ibu bapa titipannya melalui media sosial.
Beliau juga berhubung dengan ibu bapa kandungnya, namun tidak selalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg