Lelaki didakwa bantu sindiket penipuan pelaburan transnasional sasar penduduk S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didakwa bantu sindiket penipuan pelaburan transnasional sasar penduduk S’pura

Warga M’sia ditangkap pada 15 Februari selepas didapati cuba tinggalkan S’pura melalui Lapangan Terbang Changi
Feb 16, 2026 | 3:35 PM

Lelaki didakwa bantu sindiket penipuan pelaburan transnasional sasar penduduk S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
jenayah, sindiket penipuan pelaburan transnasional, sasar penduduk S’pura
Mohd Khairool Faizal Azlan, ditangkap pada 15 Februari selepas dia cuba meninggalkan Singapura melalui Lapangan Terbang Changi. - Foto ST

Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Negara pada 16 Februari kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan transnasional.

Mohd Khairool Faizal Azlan, telah ditangkap pada 15 Februari selepas dia didapati cuba meninggalkan Singapura melalui Lapangan Terbang Changi.

Warga Malaysia berusia 41 tahun itu menghadapi satu tuduhan di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah) (CDSA).

Dia didakwa memudahkan sindiket penipuan transnasional antara 26 Januari dengan 14 Februari dengan mengutip wang untuk penipu daripada orang yang menetap di Singapura.

Kini dalam tahanan, Khairool akan kembali ke mahkamah pada 23 Februari.

Dalam kenyataan polis pada hari penangkapannya, polis berkata mereka kali pertama menerima laporan mengenai penipuan pelaburan pada 7 Februari.

Mangsa yang membuat laporan itu telah menemui iklan pelaburan di Facebook dan seterusnya dijemput untuk menyertai kumpulan WhatsApp.

Beliau menerima arahan dalam kumpulan untuk memuat turun aplikasi mudah alih untuk membuat akaun dan memulakan pelaburannya. 

Selepas memindahkan $25,000 ke akaun bank dan YouTrip yang tidak dikenali, aplikasi mudah alih itu dikemas kini untuk menunjukkan beliau telah memperoleh pulangan 8 peratus daripada pelaburannya.

Kemudian, beliau dimaklumkan boleh memperoleh 20 peratus lagi jika menambah $50,000 lagi dalam pelaburan.

Menurut polis, wanita itu menyerahkan $50,000 secara tunai kepada seorang lelaki, yang dipercayai Khairool.

Dia mendakwa bekerja untuk syarikat pelaburan tersebut.

Wanita itu hanya menyedari beliau ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan pulangan yang dijanjikan.

Khairool ditangkap apabila dia cuba meninggalkan Singapura.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai diarahkan oleh individu yang tidak dikenali yang mungkin sebahagian daripada sindiket penipuan transnasional untuk mengutip dan menyerahkan wang daripada mangsa kepada individu lain,” kata polis.

Di bawah CDSA, mereka yang didapati bersalah membantu orang lain untuk mengekalkan manfaat daripada perbuatan jenayah boleh dipenjara hingga 10 tahun, didenda hingga $500,000, atau kedua-duanya.

Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata ia telah melihat peningkatan dalam trend rakyat Malaysia datang ke Singapura untuk membantu sindiket penipuan.

Mulai 30 Disember 2025, penipu, anggota sindiket penipuan dan perekrut sindiket penipuan akan menghadapi hingga 24 sebatan rotan.

Keldai wang pula akan menghadapi sebatan mengikut budi bicara hingga 12 sebatan.

SPF mengingatkan orang ramai agar berhati-hati apabila diminta memuat turun aplikasi atau membuat pelaburan.

“Polis berkata penipu sering meminta mangsa menyerahkan wang atau barang berharga secara peribadi.

“Jangan setujui permintaan untuk bertemu atau memindahkan wang kepada individu yang tidak dikenali,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg