231 disiasat berkait penipuan, rugi lebih $6j
Seramai 231 individu sedang membantu siasatan berhubung penglibatan mereka dalam kegiatan penipuan, dengan kerugian keseluruhan melebihi $6.35 juta.
Ini menyusuli operasi dua minggu dari 30 Januari hingga 12 Februari yang dijalankan Jabatan Ehwal Komersial (CAD) bersama tujuh divisyen darat polis, menurut kenyataan polis pada 13 Februari.
Mereka dipercayai terlibat dalam lebih 900 kes, termasuk penipuan e-dagang, pelaburan dan pekerjaan.
Kesemua 231 individu itu, terdiri daripada 66 wanita dan 165 lelaki berusia antara 14 dengan 84 tahun, yang disiasat atas kesalahan menipu, pengubahan wang haram atau menyediakan perkhidmatan pembayaran secara haram.
Sejak 30 Disember, penipu serta anggota atau perekrut sindiket penipuan berdepan hukuman sebat mandatori antara enam dengan 24 kali sebatan jika sabit kesalahan.
Mereka yang mengubah wang hasil penipuan serta membekalkan kad SIM atau butiran Singpass pula boleh dikenakan sehingga 12 kali sebatan.
Individu terlibat dalam kesalahan keldai wang juga boleh dikenakan sekatan perbankan dan langganan talian telefon bagi mencegah penipuan lanjut.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di pautan, www.scamshield.gov.sg atau talian bantuan ScamShield 1799.

