Seorang lelaki Cina berumur 50 tahun akan dihadapkan ke mahkamah pada 26 September kerana didakwa mencetus kebakaran di pintu masuk sebuah masjid.

Dalam satu kenyataan awal pagi 26 September, pihak polis memaklumkan mereka menerima laporan berhubung satu kejadian kebakaran di luar sebuah masjid yang terletak di 80 Raffles Place pada sekitar 9 malam, 25 September.

Semakan mendapati alamat berkenaan merupakan tapak Masjid Moulana Mohamed Ali, yang terletak di aras bawah tanah UOB Plaza.

Siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan telah meletakkan sebuah tin minyak di pintu masuk masjid dan membakar pakaian dalam yang diletakkan di dalam tin tersebut sebelum meninggalkan lokasi kejadian.

Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dipadamkan oleh orang awam dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Menerusi siasatan di lokasi serta bantuan rakaman kamera keselamatan, identiti lelaki berkenaan berjaya dikenal pasti sebelum dia ditangkap, menurut kenyataan polis itu.

Pihak polis turut merampas sebuah pemetik api sebagai bahan bukti.

Lelaki tersebut akan dihadapkan ke mahkamah pada 26 September atas tuduhan menyebabkan atau menyumbang kepada risiko kebakaran yang berbahaya.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga sembilan bulan, denda, atau kedua-duanya sekali.

Dalam kenyataan sama, pihak polis menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain, dan “tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang jelas melanggar undang-undang”.

Mengulas mengenai insiden tersebut, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, dalam satu hantaran di Facebook pada 26 September, meluahkan rasa syukur kerana tiada mangsa cedera dan tiada sebarang kerosakan dilaporkan menyusuli kejadian di Masjid Moulana Mohamed Ali.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) atas tindakan pantas mereka mengenal pasti serta menangkap individu terbabit, selain menggesa orang ramai agar kekal tenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka.

Encik Zhulkarnain menambah bahawa beliau telah menghubungi seorang ahli Lembaga Pengurusan Masjid bagi menyampaikan rasa keprihatinan dan sokongannya.

Menurutnya, masjid itu amat dekat di hatinya kerana beliau kerap bersolat di sana sewaktu beramal sebagai peguam apabila firmanya beroperasi di bangunan UOB Plaza.

Sambil mendoakan kesejahteraan masjid, para jemaah dan masyarakat, beliau turut menegaskan kepentingan mengekalkan perpaduan di negara ini.

“Keharmonian kaum dan agama di Singapura amat bernilai dan sukar dicapai. 

“Tanpa mengira kaum atau kepercayaan, kita mesti terus bersatu padu, saling menjaga antara satu sama lain dan sentiasa waspada terhadap sebarang perkara yang boleh mengancam kepercayaan dan keamanan yang telah kita bina bersama,” kata Encik Zhulkarnain.