Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkukuh perpaduan dalam kepelbagaian susulan kejadian di Masjid Al-Istiqamah

Kerangka 3S – Keselamatan, Keselamatan Awam dan Kepekaan – asas penting kekalkan keharmonian agama, perpaduan sosial
Oct 17, 2025 | 5:00 AM
Masjid Al-Istiqamah, race, religion
Kejadian baru-baru ini di Masjid Al-Istiqamah di Serangoon North mencetuskan reaksi pantas pihak berkuasa dan menekankan kepentingan strategi keselamatan serta tanggungjawab sosial bagi mengekalkan keharmonian beragama di Singapura. - Foto fail

Seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun, Bill Tan Keng Hwee, baru-baru ini ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Dia dipercayai menghantar sepucuk sampul surat berisi sekeping daging khinzir bersama nota menghina bertulis “halal Babi chop” kepada Masjid Al-Istiqamah di Serangoon North.

Tindakannya dipercayai dilakukan dengan niat menyinggung sensitiviti kaum.

Siasatan awal mendedahkan ini bukan kejadian pertama melibatkan Tan, seorang kakitangan sokongan operasi di sebuah institusi tempatan.

Dia dipercayai turut terbabit dalam beberapa kejadian serupa di masjid lain di seluruh Singapura.

Tindakan berunsur provokatif terhadap rumah ibadat bukan hanya melibatkan Tan.

Pada April 2024, seorang penghantar makanan berusia 30 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 minggu selepas mencuri dua tin daging khinzir dari sebuah pasar raya dan meletakkannya di pintu masuk Masjid Al-Ansar di Bedok.

Apa pun motif mereka, tindakan seperti ini menggugat perpaduan sosial dan keharmonian beragama negara ini.

Ulasan ini meneliti keberkesanan kerangka 3S (Keselamatan, Keselamatan Awam dan Kepekaan) Singapura dalam menangani kejadian bersifat perkauman atau berbaur agama.

Tindakan berunsur hasutan dalam kes ini jelas melanggar prinsip 3S, sekali gus mengancam wujudnya rasa tidak percaya yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Keselamatan masyarakat

Kejadian di Masjid Al-Istiqamah telah mengakibatkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) diaktifkan, manakala kakitangan dan jemaah dipindahkan keluar sebagai langkah berjaga-jaga.

Mujur selepas pemeriksaan dilakukan oleh pakar bahan berbahaya, tiada sebarang bahan berbahaya seperti bahan letupan ditemui.

Seorang wanita telah dibawa ke Hospital Besar Sengkang kerana mengalami sesak nafas. Namun, kejadian itu dianggap kes berasingan.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu mencetuskan keresahan dan menimbulkan rasa takut dalam masyarakat sasaran, sekali gus berisiko mencetuskan reaksi berlebihan.

Akibatnya, banyak masa, tenaga dan sumber telah dialihkan demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Keselamatan rumah ibadat

Rumah ibadat, termasuk masjid, kuil dan gereja, merupakan tempat suci yang wajib dihormati dan dilindungi.

Selepas kejadian di Masjid Al-Istiqamah, langkah keselamatan telah dipertingkatkan agar kakitangan dan jemaah dapat bekerja dan beribadah dengan tenang.

Jaminan keselamatan tidak boleh diketepikan kerana sebarang kegagalan boleh menghakis kepercayaan dan memecah perpaduan masyarakat.

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu tindakan berbaur hasutan dan memberi amaran bahawa “ini seperti bermain dengan api”.

Bagi melindungi rumah ibadat, pemerintah Singapura telah mewujudkan inisiatif Program Persediaan Krisis bagi Pertubuhan Keagamaan (CPRO).

Program itu bertujuan memperkukuh keupayaan organisasi keagamaan melindungi premis dan jemaah mereka, serta membantu pihak lain saat krisis.

Selain itu, pegawai keselamatan dan kakitangan rumah ibadat turut diberikan latihan bagi menjaga keselamatan premis masing-masing.

Kepekaan antara kumpulan agama

Tindakan Tan jelas berunsur hasutan kerana daging khinzir adalah haram mengikut hukum Islam.

Kejadian itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan mendalam dalam kalangan masyarakat Islam, malah turut menerima kecaman daripada pelbagai kumpulan agama yang menyatakan perpaduan bersama mereka.

Antara yang menyuarakan sokongan termasuk Keuskupan Agung Katolik Roma Singapura, Lembaga Penasihat Sikh, Persekutuan Buddha Singapura dan Persekutuan Tao (Singapura).

Perpaduan dan sokongan bersama ini mencerminkan kematangan serta ketenangan pemimpin agama dalam menangani isu sensitif antara agama.

Setiap warga, tanpa mengira kaum dan agama, wajar mencontohi sikap mereka – menghormati ruang sesama masyarakat dan tidak melanggar batas sensitif yang boleh mencetuskan perpecahan, kebencian dan menggugat keamanan bersama.

Langkah seterusnya

Kerangka 3S – Keselamatan, Keselamatan Awam dan Kepekaan – menjadi asas penting dalam dasar dan amalan Singapura untuk mengekalkan keharmonian agama dan perpaduan sosial.

Sejak merdeka, pemimpin Singapura menegaskan prinsip “satu rakyat bersatu, tanpa mengira kaum, bahasa atau agama” sebagai tonggak utama keharmonian masyarakat.

Singapura tidak boleh mengambil mudah keamanan dan keharmonian sosial yang telah lama dibina.

Setiap rakyat mempunyai peranan penting untuk memelihara kerukunan dan perpaduan ini.

Walaupun Singapura menikmati kemajuan dan kemakmuran, perpaduan sosial dan keharmonian agama tetap rapuh.

Dalam masyarakat terbuka dan dinamik, sebarang tindakan yang menjejaskan keselamatan masyarakat agama atau menyinggung sensitiviti keagamaan boleh mengancam perpaduan sosial dan menggugat keharmonian negara.

Oleh itu, perhatian khusus dan usaha bersepadu mesti dilaksanakan oleh pemerintah, pihak berkuasa serta badan antara agama bagi mengekalkan keharmonian beragama.

Kematangan dan ketenangan dalam menangani cabaran silang budaya serta antara agama perlu menjadi tanggungjawab bersama setiap anggota masyarakat.

Kes terbaru ini menunjukkan bahawa tindakan pantas pemerintah, pihak berkuasa dan masyarakat terlibat berjaya mencegah sebarang kejadian susulan yang tidak diingini.

Ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura menjadi peringatan agar seluruh masyarakat terus berganding bahu memelihara keharmonian yang telah lama terbina.

Dr Mohamed Ali ialah Zamil Kanan dalam Program Pengajian dalam Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau juga merupakan Pengerusi Bersama Geylang Serai Harmony Circle dan Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Tan Chwee Hoon Emily ialah pelajar Sarjana Sains (MSc) dalam Pengajian Strategik di RSIS, NTU.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg