Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes curi dalam pesawat di KLIA meningkat, 267 dilapor sejak 2022

Dec 17, 2024 | 11:38 AM
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kes kecurian dalam pesawat yang dilaporkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semakin meningkat, dengan 267 kes direkodkan sejak 2022.

Dalam tempoh sama, 30 warga asing ditahan selepas didapati terbabit dalam kecurian yang disyaki berlaku semasa penerbangan antara negara Asean dan penerbangan domestik di Malaysia.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata berdasarkan siasatan yang dilakukan, suspek dalam kes-kes itu bergerak sama ada secara berseorangan atau berkumpulan antara dua hingga empat orang.

“Suspek kes curi dalam pesawat kebiasaannya adalah daripada kalangan penumpang dan disyaki akan mengambil kesempatan mencuri barang milik mangsa (penumpang lain) dengan pelbagai cara, termasuk mengambil barang di ruang bagasi yang dibawa penumpang, atau hand carry.

“Secara lazimnya, suspek akan menunggu sehingga mangsa atau penumpang lain sedang tidur atau semasa lampu dalam pesawat dimalapkan ketika penerbangan jarak jauh,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Hussein berkata antara barangan popular yang menjadi sasaran pencuri ini ialah kad kredit, barang kemas, wang tunai dan dompet.

Beliau berkata kes kecurian barangan semasa penerbangan mencatatkan peningkatan dengan 33 kes pada 2022, 88 kes pada 2023, dan 146 kes sehingga Oktober 2024.

“Walaupun lebih 200 laporan polis dibuat, hanya 26 kertas siasatan dibuka manakala baki siasatan kes tidak dapat diteruskan selepas mangsa gagal memastikan bilakah barang berkenaan hilang.

“Siasatan juga tidak boleh dijalankan kerana tiada tangkapan dan mangsa meneruskan perjalanan ke negara lain atau sudah kembali ke negara asal.

“Ada juga mangsa yang cuai atau lalai selepas mereka sendiri tersalah meletakkan barang berharga milik mereka sehingga menyebabkan kehilangan barang dan membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata seramai 26 suspek ditahan sepanjang 2024, manakala empat suspek ditahan pada 2023.

Datuk Hussein menasihatkan penumpang penerbangan yang membawa bagasi sendiri ke dalam pesawat supaya mengambil langkah keselamatan seperti memasang kunci bagi mengelak menjadi mangsa kes kecurian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg