Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Kes pecah masuk rumah privet ancaman yang perlu diurus

Sindiket pecah rumah ceroboh 10 rumah privet di S’pura sejak Jun 2024 dan curi $3.85 juta, kata polis
Aug 17, 2024 | 9:00 PM
Warganegara asing semakin menyasarkan rakyat Singapura dengan pelbagai modus operandi, menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, susuli bilangan kes pecah masuk rumah di kawasan rumah privet yang meningkat baru-baru ini dan  melibatkan suspek warganegara China.
Warganegara asing semakin menyasarkan rakyat Singapura dengan pelbagai modus operandi, menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, susuli bilangan kes pecah masuk rumah di kawasan rumah privet yang meningkat baru-baru ini dan melibatkan suspek warganegara China. - Foto ZAOBAO

Walaupun Singapura mempunyai kadar jenayah yang agak rendah, warganegara asing dengan pelbagai ‘modus operandi’ atau cara melakukan jenayah kian mengenakan sasaran kepada rakyat Singapura.

Mereka datang ke Singapura, sasarkan rumah milik warga setempat dan bekerjasama dalam beberapa pasukan – itulah ancaman yang perlu ditangani kini.

Demikian jelas Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, ketika ditemui di majlis makan malam Hari Kebangsaan Chong Pang pada 17 Ogos.

Beliau mengulas tambahan bilangan kes pecah masuk rumah di kawasan perumahan privet yang meningkat baru-baru ini dan melibatkan suspek warganegara China.

Bilangan kes pecah masuk rumah di kawasan kediaman privet menampakkan peningkatan yang mendadak, terutamanya rumah berhalaman dan kebanyakan kediaman ini berhampiran penghubung taman dan kawasan berhutan, tambah beliau.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 17 Ogos, antara 1 Jun hingga 4 Ogos, sebanyak 10 kes baru telah dilaporkan dan kejadian berlaku di kawasan rumah privet berhampiran Rail Corridor dan Bukit Timah Road.

Nilai keseluruhan barang-barang dicuri dalam 10 kes itu berjumlah kira-kira $3.85 juta dan sekitar $1.36 juta barangan telah dikembalikan. 

Bilangan ini mengubah trend sebelum ini, di mana bilangan kes berkaitan pecah masuk rumah menurun daripada 70 kes pada separuh pertama 2023 kepada 59 pada separuh pertama 2024. 

Sejak Jun, tiga warga China, yang didakwa terlibat dalam kes berkaitan pecah masuk rumah secara berasingan, telah ditahan. Long Zhihua dan Luo Changchang didakwa di mahkamah pada 28 Jun manakala Wu Jinxing yang ditahan pada 27 Julai, telah didakwa pada 29 Julai. 

Ketiga-tiga kes tersebut dipercayai berkaitan dengan sindiket antarabangsa yang melibatkan warganegara China, kata SPF.

Baru-baru ini, Berita Minggu (BM) telah melaporkan bahawa Wu Jinxing telah menyembunyikan barang-barang berharga yang dicuri, dengan nilai keseluruhan mencecah lebih $183,000. Ia termasuk beg tangan jingga Hermes Birkin bernilai $75,000, jam tangan Jaeger-Lecoultre bernilai $30,000 dan sejumlah besar wang tunai dalam mata wang antarabangsa berbeza. 

Selain tiga orang yang ditahan, 14 lagi warga China turut dikenal pasti. Polis percaya bahawa suspek-suspek ini dapat membantu dalam siasatan kes pecah masuk rumah. 

Namun, mereka kini berada di luar Singapura dan polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa China untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mengesan mereka. 

Menurut SPF, suspek dipercayai merupakan pelancong sementara yang telah memasuki Singapura sebagai pemegang Pas Lawatan Sosial, biasanya satu hingga sehari sebelum melakukan kesalahan.

Encik Shanmugam menambah:

“Kami fikir sindiket ini dipercayai beroperasi dalam kumpulan kecil. Apa yang mereka lakukan ialah menceroboh kediaman dengan memanjat dinding dan mereka bekerjasama dalam kumpulan.

“Cara mereka melakukan jenayah ini agak menarik – sekurang-kurangnya dalam beberapa kes, satu kumpulan memasuki rumah mangsa dengan mencuri barangan termasuk barangan mewah seperti beg dan jam mewah dan mereka kemudian menyembunyikan barangan itu di kawasan hutan berhampiran.

“Mereka kemudian melarikan diri. Rakan sejenayah mereka kemudian datang dan mengambil barangan yang dicuri. Operasinya agak canggih.”

Menurut Encik Shanmugam, pihak polis telah mempertingkat langkah di kawasan terjejas. Penduduk di kawasan rumah privet serata pulau juga didekati dan dinasihati agar mengambil langkah pencegahan jenayah secara serius.

Beliau menambah polis juga sedang berusaha untuk memasang lebih banyak kamera termasuk di estet kejiranan privet sebagai langkah menyekat dan jika ada kes berlaku, lebih mudah menyiasat dengan kamera berkenaan.

Kes-kes pecah masuk rumah ini telah mencetuskan kebimbangan dalam diri penduduk rumah privet termasuk penduduk Mount Sinai yang antara mereka mengambil peranan sebagai relawan Rondaan Rakyat (COP), kata Encik Daniel Lin, salah seorang anggota COP yang telah mendiami di Mount Sinai selama sekitar 30 tahun.

Peranan COP termasuk menjalankan rondaan setiap dua minggu di sekitar kawasan kejiranan, mengedarkan risalah dan mengingatkan jiran tetangga untuk terus berwaspada dan menyimpan barang berharga dengan selamat.

Di samping rondaan darat, Pasukan Tindak Balas Udara SPF turut melakukan rondaan udara dengan menggunakan dron SPF yang dilengkapi dengan lampu isyarat, kamera, dan sensor haba untuk meningkatkan pencegahan jenayah pecah masuk rumah di kawasan terjejas.

Langkah lain termasuk memasang kamera mudah alih (Mobicam) di kawasan terjejas dan lokasi strategik dengan sokongan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX). Lokasi strategik termasuk persimpangan utama, masuk, atau jalan keluar estet.

SPF turut meningkatkan usaha pendidikan awam di seluruh Singapura untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk rumah privet berhampiran penghubung taman dan kawasan berhutan. Antaranya ialah pengedaran nasihat pencegahan jenayah, tinjauan risiko jenayah dari rumah ke rumah, dan pemasangan tanda amaran jenayah di kawasan berisiko tinggi untuk mengingati penduduk mengambil langkah berjaga-jaga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg