Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didakwa import 154 senjata api replika tanpa permit

Mar 6, 2025 | 3:09 PM
Polis merampas lebih 150 replika senjata api -  termasuk senapang mainan, pistol mainan dan pelancar peluru mainan - yang dipercayai diimport oleh seorang lelaki, Ng Jie Sheng, ke sini tanpa permit.
Polis merampas lebih 150 replika senjata api - termasuk senapang mainan, pistol mainan dan pelancar peluru mainan - yang dipercayai diimport oleh seorang lelaki, Ng Jie Sheng, ke sini tanpa permit. - Foto PASUKAN POLIS SINGAPURA

Seorang warga Singapura didakwa mengimport lebih 150 replika senjata api, termasuk senapang mainan, pistol mainan dan pelancar peluru mainan, ke sini tanpa permit.

Ng Jie Sheng, 44 tahun, dikenakan pertuduhan itu pada 6 Mac, lapor The Straits Times.

Di bawah Peraturan Import dan Eksport, kelulusan polis perlu didapatkan untuk mengimport senjata api replika.

Menurut dokumen mahkamah, Ng mengimport 84 set senapang mainan, 70 set pistol mainan, 10 set pelancar peluru mainan dan empat kotak peluru getah dan aksesori.

Dia didakwa berbuat demikian antara 14 Mac 2023 dengan 11 Mei 2023 di 28 Race Course Lane.

Ng memberitahu mahkamah dia berhasrat mengaku bersalah dan mendapatkan khidmat peguam. Kesnya ditangguhkan ke 27 Mac.

Polis menerima maklumat mengenai penjualan senjata api replika pada platform e-dagang pada 11 Mei 2023.

Selepas mengenal pasti penjualnya, mereka menyerbu rumah Ng di Race Course Lane sekitar dua minggu kemudian, kata polis dalam satu kenyataan pada 5 Mac. Dalam serbuan itu, lebih 150 senjata api replika dan aksesorinya dirampas.

Mereka yang didapati bersalah mengimport senjata api replika tanpa permit pada sabitan pertama boleh didenda hingga $100,000 atau hingga tiga kali ganda nilai barangan itu, atau dipenjara hingga dua tahun, atau dikenakan kedua-dua hukuman.

Pesalah berulang boleh dihukum denda hingga $200,000, atau empat kali ganda nilai barangan itu, atau penjara hingga tiga tahun, atau dikenakan kedua-dua hukuman.

Satu percubaan menyeludup 10 senjata api replika ke Singapura digagalkan pihak berkuasa pada 14 Jun 2024. Rampasan itu dikesan pegawai di Stesen Pengimbasan Pasir Panjang, yang melihat sesuatu yang ganjil dalam imej imbasan kontena kargo masuk, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu catatan Facebook pada 10 Julai.

Senjata api replika itu termasuk pistol, senapang dan beberapa jenis senjata api lain.

Pada 5 Januari, Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman telah merampas 155 senjata tiruan pelbagai jenama yang disimpan dalam bilik di tingkat atas sebuah premis di Patrit Sulong, Batu Pahat, Johor.

Dalam Ops Bravo Taring (Senjata Tiruan) itu, beberapa pekerja premis cuba membawa keluar senjata tiruan selepas mendapat maklumat premis yang membekalkan peralatan di ibu kota Kuala Lumpur diserbu sehari sebelum itu.

Ketika serbuan dibuat, mereka sedang memindahkan senjata api tiruan ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg