Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didakwa pandu laju 106kmj, gigit polis

Sep 17, 2024 | 5:20 PM
Kereta yang ditahan polis trafik.
Kereta yang ditahan polis trafik. - SPH Media Limited

Seorang lelaki yang didakwa memecut keretanya di ekspreswe apabila diberi isyarat oleh polis supaya berhenti dan kemudian menggigit seorang pegawai dihadapkan tuduhan pada 17 September.

Mohammad Ridzuan Rohaizat, 31 tahun, dihadapkan lima tuduhan, termasuk menyebabkan kecederaan secara sengaja bagi menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, memandu dengan berbahaya dan memandu tanpa lesen sah.

Dia juga didakwa memandu kenderaan bermotor tanpa perlindungan insurans dan caj berasingan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.

Semasa perbicaraan mahkamah, pihak pendakwa memohon penangguhan empat minggu untuk menyelesaikan siasatan.

Polis menyatakan bahawa pada 16 September sekitar 1.25 pagi, dua anggota Polis Trafik sedang membuat rondaan di sepanjang KPE apabila menyedari sebuah kereta bergerak pantas.

Pemandu itu, Ridzuan, telah diberi isyarat supaya berhenti, namun dia tidak patuh dan dikatakan memecut laju untuk mengelak daripada pegawai berkenaan.

Menurut dokumen mahkamah, Ridzuan dikatakan memandu secara berbahaya pada kelajuan 106kmj, melebihi had laju 80kmj.

Dia juga didakwa melanggar lampu merah di persimpangan Punggol Central dan Punggol East.

Selepas kereta itu merempuh tiang besi di Punggol Central, Ridzuan melarikan diri tetapi ditahan oleh pegawai berkenaan. Semasa mereka cuba menahannya, dia menggigit lengan kiri salah seorang daripada mereka.

Dia kemudian ditangkap, dan didapati memiliki peralatan dadah.

Polis berkata, pegawai yang digigit itu mengalami lebam di lengan kirinya. Pegawai berusia 26 tahun itu dibawa ke hospital dan kemudian dibenarkan pulang dan diberi cuti sakit dua hari.

Siasatan mendapati Ridzuan dikehendaki polis kerana menawarkan wang tunai bagi butir Singpassnya. Dia telah menyerahkan butiran log masuk Singpassnya kepada orang yang tidak dikenali, tetapi percubaan untuk membuka akaun bank oleh orang tersebut tidak berjaya, kata polis.

Siasatan oleh Biro Narkotik Pusat terhadap kesalahan Ridzuan yang disyaki berkaitan dadah sedang dijalankan.

Kesnya akan dibicarakan lagi pada 14 Oktober ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg