Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didakwa sebabkan kematian selepas gunakan pengecas PMD tidak sesuai

Mar 28, 2025 | 6:05 PM
Putra Nur Iman Muhammad Danial Zhang didakwa menyebabkan kematian Cik Nuratiqah Zahari melalui perbuatan cuai pada 27 Mac.
Putra Nur Iman Muhammad Danial Zhang didakwa menyebabkan kematian Cik Nuratiqah Zahari melalui perbuatan cuai pada 27 Mac. - Foto PIXABAY

Seorang lelaki didakwa menyebabkan kematian melalui perbuatan cuai, selepas menggunakan pengecas yang tidak sesuai dengan bateri alat pergerakan peribadi (PMD).

Putra Nur Iman Muhammad Danial Zhang, 21 tahun, melakukan kesalahan itu pada 9 Mac 2022, dan kecuaiannya itu telah menyebabkan kebakaran yang meragut nyawa Cik Nuratiqah Zahari.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan punca kematian atau lokasi kebakaran tersebut.

Putra didakwa pada 27 Mac dan kesnya ditangguhkan ke 24 April.

Atas kesalahan menyebabkan kematian melalui perbuatan cuai, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan dikenakan denda.

Menurut pakar, kebakaran melibatkan PMD boleh disebabkan oleh perbuatan mengecas bateri yang rosak atau diubah suai secara berlebihan, atau menggunakan pengecas yang rendah kualiti atau tidak sesuai, lapor The Straits Times (ST).

Kebanyakan kes kebakaran berlaku semasa atau sejurus PMD dicas.

Semasa pengecasan, arus elektrik mengalir ke dalam bateri dan apabila bateri itu telah habis dicas, arus elektrik akan keluar dan ini menghasilkan haba.

Jika seseorang itu menggunakan pengecas yang salah atau motor elektrik PMD yang tidak sesuai, arus yang mengalir boleh melebihi had yang disyorkan untuk bateri tersebut.

Ini boleh menyebabkan bateri menjadi terlalu panas, seterusnya mencetuskan kebakaran.

Dalam laporan statistik tahunan yang dikeluarkan pada Februari, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) melaporkan terdapat 67 kebakaran melibatkan alat pergerakan aktif (AMD) termasuk PMD, basikal guna kuasa (PAB) dan alat bantuan pergerakan peribadi (PMA), pada 2024.

Angka ini meningkat sebanyak 21.8 peratus, berbanding 55 kebakaran yang dilaporkan pada 2023.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut kebakaran berkaitan AMD meningkat.

SCDF juga berkata kebakaran AMD terus menjadi isu kebimbangan, terutamanya insiden yang berlaku di rumah. 

Terdapat 44 kebakaran AMD yang dilaporkan berlaku di rumah pada 2024, sembilan kes lebih banyak berbanding 2023.

Apabila ditanya mengapa kebakaran AMD terus meningkat, jurucakap SCDF menjawab, sebilangan besar kes melibatkan alat pergerakan yang diubahsuai, seperti memasang bateri tambahan melebihi reka bentuk asal sehingga melanggar spesifikasi keselamatannya.

Untuk mengelakkan kebakaran AMD, SCDF menggesa pengguna agar membeli alat yang mempunyai pensijilan UL2272 daripada pengeluar asal atau peruncit rasmi.

Alat itu juga tidak seharusnya ditinggalkan tanpa pengawasan semasa pengecasan untuk tempoh yang lama. 

Ia juga tidak boleh diletakkan berhampiran bahan mudah terbakar atau di laluan kecemasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg