Lebih banyak alat mobiliti aktif (AMD) terbakar pada 2024, dengan kebanyakan kebakaran itu berlaku di dalam rumah.
Dalam laporan perangkaan tahunan yang dikeluarkannya pada 13 Februari, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata terdapat 67 kebakaran melibatkan AMD pada 2024, meningkat 21.8 peratus daripada 55 kebakaran sedemikian pada 2023.
Ini adalah tahun kedua berturut-turut lebih banyak kebakaran AMD dilaporkan.
Bilangan pada 2023 itu adalah peningkatan 31 peratus daripada 42 kebakaran pada 2022.
Sebelum itu, jumlah kebakaran AMD berkurangan secara berterusan antara 2019 dengan 2022.
AMD termasuk alat mobiliti peribadi (PMD), basikal guna kuasa (PAB) dan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA).
SCDF berkata kebakaran AMD kekal sebagai satu perkara yang membimbangkan, terutama yang berlaku di rumah.
Terdapat 44 kebakaran AMD di rumah pada 2024, bertambah sembilan lebih banyak berbanding 2023.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata pada 22 Januari AMD yang tidak mematuhi peraturan keselamatan menyebabkan enam kematian sejak 2019.
Laporan SCDF itu berkata PAB adalah jenis AMD yang paling banyak terlibat dalam kebakaran, dengan 31 kes sedemikian pada 2024 dan 32 pada 2023.
Bilangan PMD terlibat dalam kebakaran meningkat daripada 18 kepada 25; manakala jumlah PMA terlibat dalam kebakaran bertambah lebih seganda daripada lima kepada 11.
Apabila ditanya mengapa kebakaran AMD terus meningkat, jurucakap SCDF memberitahu The Straits Times sejumlah besar kebakaran sedemikian melibatkan alat yang diubah suai.
Ini termasuk yang mempunyai bateri tambahan melebihi reka bentuk asal alat tersebut, yang membatalkan pensijilan keselamatannya.
“Kami dengan tegas menasihatkan orang ramai supaya jangan mengubah suai alat mereka, dan menggesa mereka agar memastikan alat yang mereka gunakan memenuhi piawaian, demi keselamatan mereka sendiri serta keluarga dan masyarakat,” kata jurucakap itu.
Pengerusi Majlis Kesediaan Kebakaran dan Kecemasan Kebangsaan, Encik Markham Shaw, berkata risiko serius yang ditimbulkan oleh kebakaran AMD menekankan perlunya penggunaan selamat dan pengecasan betul, dan menggunakan hanya bahagian asal pada alat tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg