Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didenda, dipenjara setahun kendali sindiket pelacuran wanita Jepun di S’pura

Jul 4, 2025 | 4:13 PM
Goh Boon Hong, 25 tahun, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan pada 30 Jun, termasuk menempatkan wanita bagi tujuan pelacuran dan hidup daripada pendapatan pelacuran.
Goh Boon Hong, 25 tahun, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan pada 30 Jun, termasuk menempatkan wanita bagi tujuan pelacuran dan hidup daripada pendapatan pelacuran. - Foto oleh PASUKAN POLIS SINGAPURA

Seorang lelaki yang menjalankan sindiket maksiat dalam talian untuk merekrut wanita Jepun bagi tujuan pelacuran di Singapura telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun dan didenda sebanyak $4,000.

Goh Boon Hong, 25 tahun, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan pada 30 Jun, termasuk menempatkan wanita bagi tujuan pelacuran dan hidup daripada pendapatan pelacuran.

Pada Ogos 2024, Goh, seorang warganegara Malaysia, diupah oleh seorang lelaki bernama Wong Chi San untuk menjadi ahli sindiket tersebut.

Goh menerima komisen sebanyak 10 peratus daripada hasil pelacuran pada awalnya. Ini kemudiannya dinaikkan kepada 20 peratus, lapor The Straits Times (ST).

Pada Januari 2025, Goh mengambil alih operasi sindiket tersebut selepas Wong ditangkap. Butiran kes Wong tidak dinyatakan dalam dokumen mahkamah.

Pada bulan yang sama, seorang wanita Jepun berusia 26 tahun, yang dikenali sebagai A1 dalam dokumen mahkamah, menerima jemputan Goh untuk melacurkan diri di Singapura dari Februari hingga Mac.

A1 kemudian menjemput rakannya yang juga warga Jepun berusia 27 tahun, A2, yang turut bersetuju.

Sepanjang sembilan hari di hotel Marina Bay Sands, A1 telah memberikan perkhidmatan seksual kepada 44 pelanggan. Dia memperoleh $14,800 daripada mereka, dan telah dibayar 1.24 juta yen (S$10,900) oleh Goh.

A2 telah melayani 37 pelanggan dan memperoleh $11,100. Goh membayarnya sebanyak 830,000 yen.

Goh bekerjasama dengan seorang rakan subahat, Zhang Kai, seorang warganegara China, yang bertanggungjawab menempah bilik-bilik hotel.

Selain daripada bayaran bilik hotel, Goh membayar Zhang sebanyak $50 bagi setiap bilik setiap hari sebagai upah untuk mendapatkan bilik-bilik hotel tersebut.

Pada awalnya, Goh membayar Zhang sebanyak $500 untuk setiap penyediaan bilik air. Jumlah ini kemudian dinaikkan kepada $600 selepas Zhang mengadu tentang risiko yang terlibat dalam operasi pelacuran ini.

Goh turut membayar Zhang sebanyak $2,100 bagi perkhidmatannya sepanjang tempoh sembilan hari tersebut dan menyimpan baki hasil pelacuran untuk dirinya.

Kesalahan-kesalahan ini terbongkar pada 7 Mac apabila pihak polis menjalankan operasi anti-maksiat di Marina Bay Sands dan Goh telah ditangkap.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg