Dua lelaki Singapura adalah antara tiga individu yang ditahan di Thailand kerana disyaki terlibat dalam mengendalikan sindiket jenayah transnasional, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 19 Jun.
Dua suspek dari Singapura yang berusia 36 dan 38 tahun, bersama seorang lelaki Thailand berusia 50 tahun, ditahan pada 17 Jun dalam satu operasi rentas sempadan bersama Polis Diraja Thailand (RTP).
Aset bernilai lebih 20 juta baht ($790,600), terdiri daripada wang tunai dalam akaun bank dan dua unit kondominium, bersama dengan komputer riba, telefon bimbit, pemacu keras, kad bank dan kad SIM, juga dirampas oleh RTP semasa penahanan ketiga-tiga lelaki tersebut pada 17 Jun, lapor The Straits Times (ST).
SPF turut membekukan lebih $1.26 juta hasil jenayah yang disyaki didapati daripada akaun bank Singapura milik lelaki berusia 38 tahun tersebut.
Menurut laporan daripada laman berita Thai, Khaosod English, pada 18 Jun, salah seorang lelaki Singapura ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok, selepas tiba dengan penerbangan dari Singapura.
Polis Thailand bertindak berdasarkan maklumat ketibaan lelaki tersebut dan dia mempunyai beberapa waran tangkap terhadapnya, menurut laporan tersebut.
ST telah mendapat maklumat bahawa lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di lapangan terbang, manakala lelaki berusia 36 tahun ditahan di kediamannya di Thailand.
Siasatan terhadap sindiket jenayah itu bermula pada 2023, yang didakwa merekrut wanita asing dan menghantar mereka ke Singapura untuk bekerja sebagai pekerja seks, kata SPF.
Sekurang-kurangnya 76 pekerja seks, yang didakwa dikendalikan oleh sindiket tersebut, telah ditahan dari April 2023 hingga Mei 2025, dan siasatan seterusnya “telah mengumpulkan maklumat berguna” terhadap sindiket itu, tambah SPF.
Identiti ketiga-tiga suspek diketahui selepas pegawai polis dari Thailand dan Singapura berkongsi penemuan mereka tentang sindiket tersebut.
Lelaki berusia 38 tahun itu didakwa menggunakan rangkaian akaun bank yang kompleks untuk memindahkan pendapatan hasil pelacuran pekerja seks dari Singapura ke Thailand, manakala lelaki berusia 36 tahun itu didakwa menyokong sindiket dalam operasi jenayah transnasional tersebut, kata polis Singapura.
Siasatan masih diteruskan.
Dalam kenyataan tersebut, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Polis Singapura, Yeo Yee Chuan, menekankan kepentingan kerjasama dalam bidang seperti perkongsian maklumat, operasi dan siasatan dalam memerangi jenayah sindiket transnasional.
“SPF komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan serantau kami, dan kami berterima kasih kepada RTP atas kerjasama berharga mereka dalam membongkar rangkaian jenayah ini untuk mengelakkan eksploitasi wanita, membendung jenayah transnasional dan mengambil tindakan tegas terhadap pengubahan wang haram hasil jenayah,” kata SAC Yeo, yang juga timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID).
Leftenan Jeneral Polis Thailand Jirabhop Bhuridej berkata: “Dedikasi dan profesionalisme pegawai SPF dan RTP memainkan peranan penting dalam kejayaan kerjasama operasi rentas sempadan, yang membawa kepada penahanan sindiket jenayah transnasional ini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg