Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dijel curi kotak wang hampir $50,000 semasa majlis kahwin

Jun 25, 2025 | 4:59 PM
Lee Yi Wei, kes curi
Bekas pelayan bankuet sambilan yang juga kaki judi, Lee Yi Wei, mencuri hampir $50,000 daripada sebuah majlis perkahwinan menggunakan hampir kesemua wang tersebut untuk berjudi. - Foto ST

Majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi detik bahagia buat sepasang pengantin bertukar suram apabila seorang yang tidak dikenali mencuri kotak wang berisi angpau bernilai hampir $50,000 daripada majlis resepsi mereka.

Bekas pelayan bankuet sambilan yang juga kaki judi, Lee Yi Wei, 36 tahun, menggunakan hampir kesemua wang tersebut untuk berjudi.

Lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada 24 Jun selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan mencuri dan satu pertuduhan berjudi menggunakan perkhidmatan perjudian tidak berlesen, lapor The Straits Times (ST).

Hakim Daerah Christopher Goh turut memerintahkan Lee membayar ganti rugi kepada mangsa.

Jika gagal berbuat demikian, hukuman penjaranya akan ditambah 100 hari.

Kejadian itu berlaku semasa majlis makan tengah hari perkahwinan pada 5 April di dewan utama Hotel JW Marriott Singapore South Beach.

Pegawai Pendakwa Negara, Encik Segathesan Kannapan, memberitahu mahkamah Lee sudah biasa dengan susun atur dewan kerana pernah bekerja di sana sebelum itu. 

Dia tahu kotak wang yang mengandungi sumbangan daripada tetamu biasanya diletakkan di meja pendaftaran di ruang legar dewan.

Apabila meja tersebut ditinggalkan tanpa pengawasan sekitar 12.50 tengah hari, Lee dengan pantas mengambil dua kotak wang yang mengandungi $48,939 lalu melarikan diri.

Penganjur majlis yang dimaklumkan mengenai kehilangan kotak itu kemudian meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam tindakan Lee, segera menghubungi polis pada kira-kira 1 tengah hari.

Siasatan mendapati Lee menyimpan wang curi itu di lokar Perpustakaan Negara di Bugis dan menggunakan $348 untuk membeli pakaian baru di Bugis Junction.

Selepas menukar pakaian, dia mengambil sejumlah wang dari lokar itu lagi dan meninggalkan perpustakaan, lalu menggunakan $60 lagi untuk membeli pakaian tambahan di Raffles City.

Pada hari yang sama, Lee memasukkan $36,331 ke dalam akaun bank melalui mesin ATM di beberapa lokasi.

Wang itu kemudian ditukar menjadi kredit perjudian dalam talian.

Dalam tempoh dua hari, dia membuat 195 pertaruhan melalui laman web perjudian tanpa lesen.

Dia juga berjudi di cawangan Singapore Pools di Middle Road dengan menggunakan $12,200.

Lee ditangkap pada 7 April dengan $3,000 wang curian masih berada dalam simpanannya.

Tanpa diwakili peguam, Lee memohon maaf kepada mangsa ketika membuat rayuan.

“Saya sepatutnya memikirkan akibatnya... (Ini semua kerana) ketagihan perjudian saya dan saya bertindak kerana terdesak,” katanya.

Hakim Daerah Goh berkata Lee jelas merancang jenayah tersebut, bukannya bertindak secara terburu-buru.

Lee, yang telah ditahan reman sejak Mei, kini telah memulakan hukuman penjaranya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg