Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dijel hampir 5 tahun tipu 37 mangsa lebih $1.4j

Dec 23, 2025 | 7:47 PM
Singapore, cheating, scheme, tipu
Pada 23 Disember, Long Junsheng, 40 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun dan 11 bulan selepas mengaku bersalah atas beberapa tuduhan penipuan. - Foto ST

Seorang penipu menggunakan pelbagai skim untuk menipu 37 mangsa dengan jumlah lebih dari $1.4 juta antara Julai 2018 dengan Oktober 2023.

Pada 23 Disember, Long Junsheng, 40 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun dan 11 bulan selepas mengaku bersalah atas beberapa tuduhan penipuan.

Menurut dokumen mahkamah, dari 2017 hingga 2023, dia bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat bernama J-Workz Office Solutions, yang mengendalikan produk pejabat.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Darren Sim dan DPP Nicole Tay berkata, pada 2018, Long mula mempromosikan perisian perakaunan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) bagi pihak J-Workz untuk memperoleh komisen, lapor The Straits Times (ST).

Dia akan berbohong dengan mendakwa bahawa perisian dan kos berkaitan akan ditanggung oleh inisiatif yang dikaitkan dengan pemerintah, iaitu Productivity Solutions Grant (PSG) dari Enterprise Singapore.

Inisiatif itu bertujuan membantu syarikat Singapura tingkatkan produktiviti melalui penyelesaian teknologi maklumat (IT), dan Long mendakwa dia akan membantu mangsa memohon geran tersebut.

Long menyuruh pengarah syarikat tanda tangan borang dan membuat pembayaran, dan berjanji bahawa selepas proses pentadbiran selesai, syarikat tersebut akan dibayar balik mengikut ketetapan.

Dokumen itu adalah perjanjian sewa 60 bulan dengan GC Lease Singapore, sebuah syarikat penyewaan, yang mana J-Workz adalah pelanggan.

Kedua-dua DPP berkata: “Pengarah syarikat perlu menyetujui pesanan penghantaran yang mengesahkan bahawa mereka telah menerima perisian daripada J-Workz, walaupun ini adalah palsu.

“Pengarah syarikat diberitahu bahawa pemprosesan pembelian perisian dan/atau permohonan geran pemerintah hanya boleh dilakukan setelah dokumen tersebut ditandatangani.”

Long kemudian membawa dokumen tersebut kepada GC Lease.

Mereka yang terlibat percaya bahawa syarikat-syarikat tersebut telah menerima produk, menyebabkan GC Lease mengeluarkan jumlah yang dipersetujui kepada J-Workz.

GC Lease juga akan terus mengutip wang daripada syarikat-syarikat tersebut setiap bulan, kata mahkamah.

J-Workz kemudian membayar Long jumlah penuh yang dikeluarkan sebagai komisennya.

Bagi mengelakkan sebarang syak wasangka, Long membayar sedikit wang kepada mangsa sebagai “bayaran pampasan pemerintah” pertama.

Selepas itu, dia akan berhenti menghubungi mangsa, kata DPP itu.

Skim tersebut melibatkan 13 mangsa, yang mengalami kerugian berjumlah hampir $425,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg