Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki dijel abai 71 kucing di flat selama 2 tahun, 9 ditemui mati
Lelaki dijel abai 71 kucing di flat selama 2 tahun, 9 ditemui mati
Akibat mengabaikan 71 kucing di sebuah flat di Bukit Panjang yang kotor sehingga sembilan daripadanya mati, seorang lelaki berusia 37 tahun dijatuhi hukuman penjara 16 minggu pada 23 September.
Tertuduh meninggalkan haiwan tersebut dalam ruang dengan pengudaraan yang teruk, tanpa bekalan air atau elektrik selama hampir dua tahun.
Lelaki itu turut dilarang daripada memiliki haiwan peliharaan selama 12 bulan, menurut Lembaga Taman Negara (NParks).
Muhammad Khairul Naim Zainol, pemilik bersama flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tersebut, mengaku bersalah atas 24 pertuduhan di bawah Akta Haiwan dan Burung kerana menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada haiwan berkenaan.
Sebanyak 47 pertuduhan lain turut diambil kira oleh mahkamah.
Menurut dokumen mahkamah, lelaki itu dan bekas isterinya ketika itu, Nurul Nadiah Noor Mohamed, membeli flat HDB di Bukit Panjang pada Mac 2018.
Mereka tidak memiliki sebarang haiwan peliharaan pada ketika itu.
Mulai 2019, pasangan tersebut mula memelihara beberapa ekor kucing. Oleh kerana kucing-kucing itu tidak dimandulkan, ia membiak dengan cepat.
Walaupun pasangan tersebut ada kalanya cuba mencari pemilik baharu untuk sebahagian daripada kucing berkenaan, jumlah kucing di kediaman itu terus bertambah dengan mendadak.
Sekitar April 2022, pasangan itu berpindah untuk tinggal bersama ibu bapa Khairul, lalu meninggalkan kucing-kucing tersebut di flat berkenaan.
Tidak lama selepas mereka berpindah, bekalan elektrik dan air dipotong kerana bil utiliti yang tidak dibayar.
Khairul mendakwa dia kembali ke flat tersebut setiap hari untuk meninggalkan makanan kering dan air untuk kucing-kucing itu.
Namun, dia berhenti memasuki flat tersebut selepas Disember 2023.
Sebaliknya, dia hanya meninggalkan makanan dan bekas kecil berisi air di depan pintu.
Keadaan kucing-kucing dan flat tersebut terbongkar pada 20 Februari 2024 apabila jiran memaklumkan kepada Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) mengenai seekor kucing yang kurus dan dalam keadaan tertekan, yang berada di atas birai alat hawa dingin di tingkat tiga.
Jiran tersebut menyelamatkan kucing berkenaan dan membawanya ke sebuah pusat veterinar untuk mendapatkan pemeriksaan kecemasan.
Pegawai AVS dan Pasukan Polis Singapura (SPF), yang turut menerima aduan berasingan mengenai bau busuk yang datang dari premis tersebut, memeriksa unit berkenaan pada petang itu.
Pegawai menemui 61 ekor kucing yang masih hidup, tiga bangkai kucing yang telah mereput, enam tengkorak kucing dan satu beg berisi sisa rangka sekurang-kurangnya enam ekor kucing lain.
Khairul kemudian mengaku semua kucing tersebut adalah miliknya dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
Menurut kenyataan fakta kes, flat tersebut didapati berada dalam “keadaan yang sangat teruk dan tidak bersih”, dengan lantai dan perabot diselaputi “najis dan kotoran manakala bahan najis ditemui di seluruh unit”.