Seorang lelaki yang memperdaya lima individu lebih $6,000 dalam satu penipuan sewa rumah, dijatuhi hukuman penjara setahun lapan bulan pada 26 November.
Lee Wei Jie, 27 tahun, mendapat helah menjalankan penipuan itu selepas melihat satu hantaran Facebook mengenai seorang wanita yang ditipu dalam skim serupa.
Pada 2023 dan 2024, Lee menipu setiap mangsa antara $400 dengan $2,200 dengan mendakwa sebuah bilik di rumahnya di Punggol tersedia untuk disewa, meskipun dia tidak berniat menyewakannya.
Pada 26 September, dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan menipu dan dua tuduhan menyalahgunakan sistem komputer, lapor The Straits Times (ST).
Dalam prosiding sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tan Shi Yun memberitahu mahkamah bahawa Lee memutuskan untuk melakukan penipuan sewa rumah itu selepas melihat satu hantaran Facebook mengenai skim serupa pada Mac 2023.
Dia kemudian menghantar mesej peribadi kepada ahli kumpulan Facebook yang sedang mencari bilik untuk disewa.
Pada 14 April 2023, salah seorang mangsa telah meninjau bilik yang kononnya tersedia untuk disewa itu dan kemudian memindahkan $550 sebagai bayaran ‘deposit’ ke akaun bank Lee.
Lee bersetuju membenarkan wanita tersebut berpindah masuk ke rumahnya seminggu kemudian.
Namun, sehari sebelum tarikh perpindahan, Lee memaklumkan wanita itu bahawa beliau hanya boleh berpindah pada 1 Mei 2023.
Apabila tarikh itu tiba, Lee memberitahu wanita tersebut bahawa dia telah menukar fikiran dan tidak mahu menyewakan bilik itu lagi, sambil berjanji akan memulangkan deposit sewa kepadanya.
Wang tersebut tidak dipulangkan, malah Lee kemudian menipu empat lagi mangsa dengan cara serupa.
Dalam kes berasingan, seorang pengguna aplikasi Telegram yang tidak dikenali pada 2021 telah menjanjikan $300 kepada Lee sebagai pertukaran untuk butiran akaun banknya.
Dia menerima tawaran itu dan memberikan butiran akaunnya, yang kemudian dibekukan pihak penguasa setelah ia dikaitkan dengan skim penipuan melibatkan $15,000.
Pada 2022, Lee ditawarkan $1,000 oleh seseorang di Telegram sebagai pertukaran untuk menggunakan akaun Singpass miliknya selama seminggu. Dia menerima tawaran itu tetapi tidak menerima bayarannya.
Sebaliknya, butiran peribadinya itu telah digunakan untuk membuka akaun lain yang dikaitkan dengan hasil penipuan sekurang-kurangnya $2,800.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg