Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dipenjara 40 hari ugut bunuh pembantu rumah selepas cinta ditolak

Jun 16, 2025 | 5:30 PM
Penjara, pembantu rumah, ugutan bunuh
Muhammad Khairulnaim Rosli mengaku bersalah atas satu pertuduhan ugutan jenayah selepas mengugut untuk membunuh pembantu rumahnya pada Januari 2024. - Foto ST

Selepas perasaan cintanya ditolak oleh pembantu rumahnya, seorang lelaki menghalakan sebilah pisau dan mengugut membunuh wanita itu.

Pada 16 Jun, Muhammad Khairulnaim Rosli, 37 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan membuat ugutan jenayah selepas mengugut untuk membunuh pembantu rumahnya pada 12 Januari 2024.

Dia dijatuhi hukuman penjara 40 hari.

Mahkamah diberitahu bahawa dia meluahkan perasaannya terhadap mangsa pada Disember 2023, hanya tiga bulan selepas wanita itu mula bekerja.

Mangsa tinggal serumah dengan Khairulnaim, isteri dan dua anak mereka.

Kerana berasa tidak selesa dan terganggu dengan gangguan majikannya, mangsa memberitahu beliau tidak mempunyai perasaan terhadap Khairulnaim dan menyekatnya di Instagram, TikTok dan WhatsApp.

Namun, Khairulnaim tetap memberitahu isterinya bahawa dia menaruh hati terhadap mangsa.

Ini menyebabkan isterinya meminta cerai pada 1 Januari 2024.

Pada hari kejadian, 12 Januari 2024, Khairulnaim bangun daripada tidur petangnya dan mula berasa marah terhadap pembantu rumah itu kerana merasakan hidupnya telah musnah.

Sekitar 6 petang, dia ke dapur, mengambil sebilah pisau sepanjang 16 sentimeter lalu ke ruang tamu dan mengacukannya kepada mangsa sambil mengugut untuk membunuhnya sebelum masuk semula ke biliknya.

Tidak lama selepas itu, mangsa melarikan diri dari flat dan turun ke bawah blok kerana takut akan keselamatannya.

Seorang orang awam menemuinya sedang menangis dan membuat laporan polis.

Khairulnaim ditangkap pada hari yang sama.

Semasa prosiding mahkamah pada 16 Jun, Khairulnaim pada awalnya menafikan pertuduhan dengan menyatakan bahawa dia hanya mengugut secara lisan – tanpa menggunakan pisau.

Namun apabila ditanya oleh Hakim Daerah Lorraine Ho, dia mengaku telah mengambil pisau selepas mengugut mangsa sebagai satu cara untuk menakutkannya.

Dia menambah bahawa dia tidak mengacukan pisau kepada mangsa, sebaliknya hanya mengambilnya dan kembali ke bilik.

Tetapi akhirnya dia mengakui bahawa kronologi kejadian seperti yang dibentangkan oleh pihak pendakwa adalah benar.

Dalam rayuannya, Khairulnaim mendakwa telah didiagnosis dengan gangguan yang menyebabkannya untuk menjadi marah dan berkelakuan agresif secara tiba-tiba oleh Institut Kesihatan Mental dan sedang menjalani rawatan.

Namun, dia mengesahkan bahawa dia tidak bergantung pada laporan perubatan itu untuk menunjukkan gangguan itu menyumbang kepada kejadian, sebaliknya hanya mengemukakannya untuk menunjukkan rasa kesal dan memohon hukuman diringankan.

Kesalahan ugutan jenayah boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg