Taktik seorang pengusaha kereta sewa yang mengaut keuntungan dengan menyewakan semula kenderaan milik firma lain kepada pelanggannya, berakhir dengan hukuman penjara.

Soon Yunn Chiuan telah mendorong mangsanya agar membuat pembayaran kepadanya, sedangkan mangsa tersebut menyangka mereka sedang melunaskan bayaran di bawah perjanjian sewa kereta mereka.

Namun sebenarnya, dia menggunakan wang tersebut untuk menampung kos perniagaan dan perbelanjaan peribadinya sendiri.

Lelaki berusia 50 tahun itu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan pada 15 September, selepas dia mengaku bersalah terhadap lima tuduhan menipu dan satu tuduhan memalsukan dokumen.

Sebanyak 35 tuduhan menipu lain turut diambil kira dalam penjatuhan hukumannya.

Akibat kegagalan Soon melunaskan bayaran kepada firma-firma tersebut, kereta-kereta berkenaan ditarik balik daripada pelanggannya yang menjadi mangsa, walaupun ada yang telah membayar penuh atau masih membayar ansuran bulanan.

Secara keseluruhan, Soon menerima lebih $295,400 daripada penyewa yang menyangka mereka menyewa kereta daripadanya.

Mereka menanggung kerugian keseluruhan berjumlah $176,273.50 apabila kereta-kereta itu ditarik balik.

Mahkamah mendengar bahawa perniagaan Soon pada mulanya menguntungkan, walaupun dia menjalankan perniagaan sewa kereta tanpa mempunyai sebarang kereta miliknya sendiri.

Dia merancang skim itu apabila memulakan perniagaannya pada 2023 menerusi pasaran dalam talian Carousell.

Selepas pelanggannya menyatakan jenama dan model kereta yang ingin disewa, dan bersetuju dengan harganya, Soon akan menyemak bekalan sedia ada di firma sewa kereta lain.

Dia kemudian akan meminta bayaran sekali gus atau cengkeram daripada pelanggan, dan menggunakan wang itu untuk membayar syarikat sewa kereta tersebut secara mingguan atau bulanan.

Model perniagaan itu pada mulanya menguntungkan.

Namun, Soon mula menghadapi masalah pada Mac 2023 selepas dia memperluas perniagaannya dan menyewa lebih banyak kereta untuk disewakan semula, tetapi tidak mampu meneruskan pembayaran.

Ketika itu, dia turut menggunakan wang yang dibayar oleh pelanggannya untuk menampung perbelanjaan peribadinya.

Dia berbuat demikian walaupun tahu kenderaan yang disewakan semula kepada pelanggannya sendiri akan ditarik balik, sekiranya dia gagal membuat pembayaran kepada syarikat sewa kereta yang lain itu.

Namun, Soon meneruskan tindakannya, kadangkala mengambil pembayaran pendahuluan untuk keseluruhan tempoh sewaan.

Menjelang 2025, dia mengiklankan perniagaannya di Carousell menggunakan pelbagai nama syarikat berbeza untuk meneruskan skimnya. 

Tuduhan memalsukan dokumen itu berkaitan satu kejadian pada 2024, selepas dia berkenalan dengan pemilik, sebuah perniagaan sewa kereta, Zupreme Services.

Zupreme bersetuju membenarkan Soon menyewakan semula kereta-kereta miliknya, dengan pelanggan Soon menandatangani kontrak yang mengandungi butiran firma tersebut.

Kontrak itu sepatutnya hanya digunakan untuk kereta milik Zupreme, tetapi pada Ogos 2024, Soon menggunakannya untuk mengelirukan seorang pelanggan supaya menyewa sebuah kereta milik firma lain.