Cik Pearl Ting hampir menyerahkan butiran kad kreditnya kepada seorang penipu. Nasib baik kerugian kewangan yang pernah dialami suami beliau membuat Cik Ting teragak-agak. 

Pesara berusia 72 tahun itu menerima satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) pada awal 2022, kononnya daripada SingPost, katanya apabila mengimbas kejadian tersebut. Si pemanggil mendakwa kononnya bungkusan beliau terkandas dalam proses penghantaran. Beliau perlu membayar hanya $12 untuk melepaskan bungkusan itu. 

“Saya tidak menjangkakan sebarang bungkusan, tetapi saya terfikir, mungkinkah aku lupa?” kata Cik Ting, yang berbelanja secara dalam talian bagi barangan seperti makanan dan pakaian seminggu sekali. 

Beliau mengklik pautan dalam mesej itu, dan dibawa ke sebuah laman web yang memaparkan logo ‘SingPost’. Bagaimanapun, sebelum menyerahkan bayaran beliau teringat bahawa suaminya mengalami kerugian wang empat angka gara-gara seorang penipu yang menyamar sebagai rakan kongsi perniagaan hanya beberapa minggu sebelum itu. 

Berasa bimbang, Cik Ting menunjukkan SMS itu kepada menantu perempuannya yang tinggal bersama mereka.

Menantunya, 31 tahun, mengenal pasti ia satu penipuan dan membantu Cik Ting menghubungi bank untuk menyekat kad kreditnya, sekiranya butirannya telah disalah guna. 

Cik Ting terselamat. Tetapi ramai warga emas lain menjadi mangsa penipuan. 

Angka Pasukan Polis Singapura (SPF) menunjukkan pada 2025, warga berusia 65 tahun ke atas mengalami purata kerugian paling tinggi merentasi semua peringkat umur di Singapura – $37,053 setiap mangsa – meskipun mereka membentuk hanya 14.8 peratus daripada keseluruhan mangsa penipuan.  

Pakar berkata warga emas, terutamanya, lebih mudah menjadi sasaran penipuan yang mengeksploitasi kepercayaan, rasa takut dan mewujudkan rasa terdesak.

Kepercayaan menjadi perangkap 

Penipu menganggap warga emas sebagai sasaran menarik, kata Profesor Reuben Ng, saintis data dan tingkah laku di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew dan Institut Pemahaman Awam tentang Risiko. 

Salah satu sebabnya, ujar beliau, ialah adalah kerana sesetengah warga emas dianggap lebih berada daripada golongan muda, hasil simpanan yang terkumpul selepas bekerja selama beberapa dekad. 

Generasi perintis Singapura juga membesar dalam persekitaran kampung yang rapat dan menyaksikan bagaimana pemerintahan yang baik mengubah kehidupan mereka, kata Profesor Ng. 

“(Mereka) berasal dari zaman orang ramai lebih mempercayai (institusi dan pihak berkuasa).”

Profesor Ng merupakan naib juara Anugerah Pejuang Penipuan Terbaik 2025, yang diberi oleh pertubuhan tidak mengambil untung yang berpangkalan di Netherlands, Pakatan Anti-Penipuan Sejagat.  

Beliau diiktiraf kerana bersama-sama menerajui pembangunan Buku Panduan Anti-Penipuan, yang diterbitkan pada 2024 oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), yang berpangkalan di Amerika Syarikat. 

“Singapura (juga) dianggap selamat,” kata Profesor Ng. “Ada kecenderungan dalam kalangan warga emas untuk memindahkan perasaan selamat yang (mereka rasa) ke ruang dalam talian, di mana mereka sepatutnya lebih berwaspada.”

Ini, tambah beliau, membuat mereka lebih terdedah kepada penipuan yang mengeksploitasi kepercayaan dan mempergunakan pihak berkuasa, seperti penipuan penyamaran pegawai pemerintah (GOIS).

Berdasarkan data SPF, GOIS adalah jenis penipuan kedua paling kerap memperdaya warga emas, selepas penipuan pelaburan. 

Bagi GOIS, penipu berpura-pura menjadi polis atau pegawai daripada agensi pemerintah lain, lalu menyuruh mangsa menyerahkan wang atau barang-barang berharga mereka dengan menggunakan ancaman penahanan atau di bawah samaran “penyiasatan” bagi kegiatan jenayah, seperti pengubahan wang haram.

Perlu sokongan ramai

Walaupun warga emas berasa ada sesuatu yang tidak kena, untuk mereka keluar daripada situasi itu boleh menjadi satu cabaran. 

Penipu menggunakan taktik seperti mewujudkan rasa terdesak, memberi tekanan kepada warga emas untuk bertindak segera, kata Profesor Bersekutu Jiow Hee Jhee, timbalan pengarah di Akademi Pembelajaran dan Pengajaran SIT dan seorang anggota Majlis Kesusasteraan Media. 

Ini membuat mereka tidak mempunyai masa untuk berunding dengan anggota keluarga atau kawan-kawan, yang boleh membantu mengesan tanda-tanda bahaya, jelas beliau.

Dalam kes penipuan seperti GOIS, penipu menggunakan rasa takut untuk mengaburkan pertimbangan mangsa. Dan apabila perasaan panik timbul, kata Profesor Jiow, mangsa lebih kurang mengesah identiti dan dakwaan penipu. 

Profesor Ng menambah bahawa sesetengah warga emas juga mungkin teragak-agak untuk mendapatkan bantuan anggota keluarga atau kawan-kawan – sekalipun apabila mereka mengesyaki mereka telah ditipu.

“Mangsa selalu bergelut dengan perasaan malu dan ‘hilang maruah’,” ujar beliau.

“Itulah masanya talian bantuan (24/7) ScamShield penting,” katanya, menjelaskan bahawa talian bantuan itu tidak mendedahkan identiti, menjadikannya lebih mudah bagi warga emas mengajukan soalan atau mencari kepastian tanpa berasa terdedah atau malu. 

“Tiada rasa ‘hilang maruah’ apabila membuat panggilan,” kata Profesor Ng.

Kededua pakar itu menekankan bahawa pencegahan penipuan tidak boleh bergantung sepenuhnya pada individu.

“Individu itu mungkin (orang paling terdedah) yang mencetuskan penipuan itu, tetapi keluarganya, masyarakat dan sistem kita boleh menentangnya,” kata Profesor Ng. 

Profesor Jiow menekankan kepentingan masyarakat dalam melindungi warga emas. 

“Apabila warga emas mempunyai rangkaian sokongan yang mereka selesa hubungi, mereka lebih berdaya tahan terhadap penipuan,” kata beliau. 

Sejak percubaan penipuan itu, Cik Ting lebih berwaspada dalam talian. Dengan bantuan menantu perempuannya, beliau telah memuat turun dan mendaftar aplikasi ScamShield dalam telefonnya untuk menyekat panggilan dan SMS penipuan. 

Nasihat beliau kepada warga emas lain: Sentiasa bersikap ragu-ragu terhadap mesej yang tidak dikenali, tidak kira betapa meyakinkan mesej itu. 

“Sebelum mengklik sebarang (pautan), periksa dahulu (dan) usah segera mempercayainya,” kata Cik Ting. (Jika kurang pasti), suruh anggota keluarga atau anak-anak anda membantu anda periksa.”

Pakar panduan untuk melindungi warga emas daripada penipuan
Pakar panduan untuk melindungi warga emas daripada penipuan -