Seorang lelaki berusia 46 tahun dihadapkan ke mahkamah daerah pada 27 Disember selepas dia didakwa melakukan sumbang mahram dengan salah seorang anak perempuannya dalam tiga insiden berasingan.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan umur anaknya itu, tetapi beliau berusia lebih 16 tahun pada masa kesalahan didakwa dilakukan bapanya itu.
Lelaki itu juga dituduh menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam video seorang lagi anak perempuannya, ketika itu berusia 13 tahun, ketika anak itu sedang mandi pada Januari. Dia didakwa berbuat demikian tanpa persetujuan anaknya itu.
Lelaki itu, yang namanya tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti anak perempuannya, didakwa atas tiga pertuduhan sumbang mahram, tujuh pertuduhan voyeurisme atau mengintai dan satu pertuduhan memiliki filem lucah.
Menurut dokumen mahkamah, dia dikatakan melakukan sumbang mahram dengan anak sulungnya di flat Bedok North sebanyak tiga kali antara 2021 dengan 2023.
Dia dikatakan telah merakam video anaknya sedang mandi di flat itu kira-kira 5.30 pagi pada 7 Januari.
Lelaki itu didakwa merakam video serupa anak perempuan yang lebih muda lima kali secara berasingan antara 1 dengan 11 Januari.
Pada 28 Januari, dia sedang membuat panggilan video dengan mangsa ketiga yang dikatakan pada ketika itu sedang melakukan perbuatan seksual.
Lelaki itu dikatakan telah merakam video wanita itu tanpa persetujuannya.
Dia juga didakwa mempunyai 25 filem lucah di telefon bimbitnya pada 5 April lalu.
Kes itu akan disebut semula di mahkamah pada 7 Feb 2025.
Bagi setiap pertuduhan sumbang mahram, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun.
Bagi setiap voyeurisme yang melibatkan kanak-kanak di bawah usia 14 tahun, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda atau rotan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg