Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki hadapi 2 tuduhan selepas bikin kecoh di Lapangan Terbang Changi

Mar 17, 2025 | 6:38 PM
Richard Michael Roll Burridge, 57 tahun, telah didakwa dengan satu tuduhan membuat gangguan dan satu tuduhan perbuatan nakal pada 17 Mac.
Richard Michael Roll Burridge, 57 tahun, telah didakwa dengan satu tuduhan membuat gangguan dan satu tuduhan perbuatan nakal pada 17 Mac. - Foto ST

Seorang lelaki yang sepatutnya menaiki penerbangan ke London didakwa mencetuskan kekecohan di Lapangan Terbang Changi apabila diberitahu dia tidak dibenarkan keluar dari bilik menunggu untuk mencari telefon bimbitnya yang hilang.

Richard Michael Roll Burridge, 57 tahun, telah didakwa dengan satu tuduhan membuat gangguan dan satu tuduhan melakukan perbuatan nakal pada 17 Mac, lebih seminggu selepas dia didakwa melakukan kesalahan tersebut.

Burridge dijangka mengaku bersalah pada 20 Mac, lapor The Straits Times (ST).

Menurut dokumen mahkamah, lelaki warga Britain itu didakwa menghamburkan kata-kata kesat kepada seorang wanita di bilik menunggu B5 di Terminal 3, Lapangan Terbang Changi, pada petang 7 Mac.

Burridge juga didakwa menendang panel dinding di jambatan penghubung penumpang atau aerobridge berdekatan, sehingga menyebabkan kerosakan kepada jambatan itu.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis berkata Burridge sedang menaiki pesawat menuju ke London di terminal tersebut apabila dia menyedari telefon bimbitnya telah tercicir.

Butiran mengenai syarikat penerbangan itu tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Menurut polis, Burridge meninggalkan pesawat kerana dia mahu mencari telefonnya di ruang rehat lapangan terbang yang telah dilewatinya sebelum ini.

Seorang pekerja syarikat penerbangan di bilik menunggu kemudian memberitahunya bahawa pekerja di ruang rehat itu tidak menjumpai telefonnya.

Memandangkan waktu pesawat berlepas hampir tiba, pekerja itu turut memberitahunya dia tidak dibenarkan menaiki pesawat jika dia meninggalkan bilik menunggu itu.

“Dia kemudiannya didakwa membalas dengan kata-kata kesat dan hinaan, dan semasa berjalan menuju ke pesawat, dia menendang dan merosakkan panel dinding aerobridge,” tambah polis.

Setelah itu, Burridge dikeluarkan dari pesawat dan polis dimaklumkan pada 8 Mac.

Jika disabitkan kesalahan membuat gangguan, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga $5,000.

Pesalah yang disabitkan kesalahan melakukan perbuatan nakal boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg