Seorang lelaki warga Singapura yang didakwa membawa masuk 40 kilogram (kg) dadah ke Sydney pada 20 Februari telah didakwa di Australia.
Dalam satu kenyataan pada 25 Februari, Polis Persekutuan Australia (AFP) dan Pasukan Sempadan Australia (ABF) berkata lelaki berusia 55 tahun itu didakwa mengimport 32kg methamphetamine dan 8kg kokain yang disembunyikan di dalam bagasi.
Apabila pegawai ABF menahannya ketika tiba di Sydney melalui penerbangan dari Malaysia pada 20 Februari, lelaki itu mendakwa dia tidak membawa bagasi berdaftar.
Dia kemudian dibenarkan untuk meninggalkan Lapangan Terbang Sydney.
Namun, pegawai kemudian menemui dua beg pakaian dengan tanda nama lelaki tersebut yang ditinggalkan di atas tali sawat bagasi (baggage conveyor belt).
Sekitar 32kg methamphetamine dan 8kg kokain dijumpai di dalam beg-beg tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Perkara itu dirujuk kepada polis yang merampas bagasi tersebut dan memulakan pencarian suspek.
Pegawai AFP mendapati lelaki itu telah melarikan diri ke Adelaide. Dia ditahan pada 21 Februari di Lapangan Terbang Adelaide, ketika cuba mengambil penerbangan ke Malaysia.
Lelaki itu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Adelaide pada 24 Februari dan kemudian diekstradisi ke wilayah New South Wales.
Dia dijadualkan untuk menghadiri perbicaraan di Mahkamah Daerah Downing Centre di Sydney pada 25 Februari.
Warga Singapura itu telah didakwa dengan dua pertuduhan mengimport dadah yang dikawal sempadan dengan kuantiti komersial, dan berdepan dengan hukuman maksimum penjara seumur hidup.
Pihak berkuasa Australia berkata methamphetamine yang dirampas mempunyai anggaran nilai pasaran sebanyak A$29.6 juta ($25.1 juta), manakala kokain yang dirampas dianggarkan bernilai A$2.6 juta.
Superintenden ABF, Encik Elke West, berkata ia adalah salah satu pengesanan dadah haram penting yang dilakukan oleh pegawai pasukannya di Lapangan Terbang Sydney.
“Pegawai kami terus mengekalkan keseimbangan yang baik antara memudahkan jutaan pelancong sah yang datang melalui Lapangan Terbang Sydney setiap tahun.
“Kami tetap berjaga-jaga terhadap sindiket jenayah yang cuba menggunakan lapangan terbang sebagai pintu masuk untuk mengimport dadah haram.
“Mesej kami jelas, kami akan membongkar percubaan ini dan akan bekerjasama rapat dengan rakan penguatkuasa undang-undang untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab di hadapkan ke muka pengadilan secara sepenuhnya,” jelas Encik West.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg