Individu pertama yang didakwa memiliki vape dicampur etomidate, atau Kpod, selepas undang-undang diperketatkan, telah dibawa ke sebuah flat di Ang Mo Kio – tempat dia ditangkap sebelum ini – pada 12 September.
Warga Singapura, Derek Khor Boon Chun, 40 tahun, didakwa pada 8 September kerana memiliki etomidate bagi tujuan pengedaran di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA).
Menurut kenyataan Penguasa Sains Kesihatan (HSA), polis dimaklumkan pada 6 September mengenai seorang lelaki yang berkelakuan mencurigakan di Blok 631, Ang Mo Kio Avenue 4.
Apabila polis tiba di lokasi, mereka menemui Khor bersama sebuah vape dan pod.
Pemeriksaan pada telefon bimbitnya mendedahkan dia dipercayai terlibat dalam pengedaran vape.
Apabila polis membuat pemeriksaan lanjut ke atas kenderaannya, mereka menemui sekitar 50 vape dan komponen vape, termasuk pod, yang kemudian dihantar ke HSA dan disahkan mengandungi etomidate.
Semasa didakwa, Khor dilaporkan memiliki keseluruhan 43 pod vape, lapor The Straits Times (ST).
Pada 12 September, Khor, dalam keadaan bergari, telah digiring pegawai HSA serta pegawai keselamatan ke tempat kejadian.
Khor tiba sekitar 4.05 petang dengan sebuah van kelabu tanpa tanda pengenalan, sebelum dibawa oleh pegawai keselamatan itu ke tingkat enam blok berkenaan.
Mereka berada di lokasi selama sekitar 15 minit sebelum beredar dengan van tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSA, Profesor Madya Raymond Chua, merakamkan penghargaan kepada orang awam kerana bekerjasama dengan HSA dalam usaha memastikan Singapura kekal selamat dan bebas daripada vape dengan melaporkan kegiatan yang mencurigakan.
Dalam satu kenyataan kepada media, Dr Chua, berkata:
“Seperti yang dilihat dalam kes ini, laporan segera orang awam mengenai kegiatan mencurigakan telah membolehkan pihak berkuasa menggagalkan kegiatan pembekalan haram vape serta pengedaran dadah terkawal yang berbahaya seperti etomidate.”
Kes Khor akan disebut semula pada 15 September.
Etomidate sebelum ini dikawal selia di bawah Akta Racun.
Pemerintah mengumumkan langkah baru dan hukuman lebih berat pada 28 Ogos untuk menangani masalah vape, khususnya Kpod.
Mulai 1 September, mereka yang mengimport Kpod boleh berdepan hukuman penjara antara tiga dengan 20 tahun, serta sebat antara lima dengan 15 kali.
Di bawah MDA, mereka yang menyalahgunakan etomidate boleh dikenakan hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda $20,000 kerana memiliki dan menggunakannya secara haram.
Sekiranya disabit kesalahan memiliki etomidate bagi tujuan pengedaran, Khor boleh berdepan hukuman penjara antara dua dengan 10 tahun serta sebat antara dua dengan lima kali.
Untuk melaporkan kesalahan berkaitan vape, orang ramai boleh menghubungi talian HSA di 6684-2036 atau 6684-2037, dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, termasuk cuti umum.
Laporan juga boleh dibuat dalam talian di laman web, www.go.gov.sg/reportvape.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg