Pihak berkuasa menangkap 32 orang di Singapura kerana disyaki menyalahgunakan etomidate pada minggu pertama selepas perubahan besar undang-undang pencegahan vape.
Secara keseluruhan, pihak berkuasa menangkap 232 orang atas kesalahan berkaitan vape antara 1 September dengan 7 September, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada 8 September.
Mereka yang ditangkap kerana memiliki vape dikenakan denda manakala peranti yang disyaki mengandungi etomidate dihantar untuk ujian, lapor The Straits Times (ST).
Ujian makmal yang dijalankan setakat ini telah mengesahkan 14 orang memiliki Kpod. Tujuh keputusan menunjukkan negatif, sementara keputusan untuk 11 orang lagi masih belum diketahui.
MOH berkata tiga penyalahguna telah diberi notis untuk menghadiri pemulihan selama enam bulan.
“Selaras dengan penguatkuasaan yang dipertingkat, penyalahguna etomidate perlu menghadiri pemulihan sebagai ganti pendakwaan,” kata jurucakap MOH, sambil menambah bahawa program itu memberi tumpuan kepada pendidikan, kaunseling dan sokongan untuk mengatasi ketagihan.
Dalam satu kiriman di Facebook, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata pengedar etomidate yang pertama telah didakwa pada 8 September di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA).
Derek Khor Boon Chun, 40 tahun, didakwa dengan tuduhan pengedaran selepas dia ditangkap kerana disyaki memiliki 43 pod vape yang dicampur etomidate.
Dia ditangkap di tempat letak kereta di Ang Mo Kio Avenue 4 pada 6 September.
Etomidate telah dikelaskan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah MDA pada 1 September. Jika disabit kesalahan, pengedar boleh dijatuhkan hukuman penjara antara dua dengan 10 tahun dan sebatan antara dua dengan lima rotan.
MOH berkata untuk mengukuhkan tindakan penguatkuasaan, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah memberi kuasa kepada lebih 5,000 pegawai penguatkuasa barisan hadapan dari Biro Narkotik Pusat (CNB), Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Perkhidmatan Penjara Singapura dan pengendali pengangkutan awam untuk mengambil tindakan terhadap pengguna vape.
Ini menggandakan penguatkuasaan, yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari HSA, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Kementerian Pendidikan (MOE), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (Nparks), Kastam Singapura dan Pasukan Polis Singapura (SPF).
MOH berkata bahawa inisiatif ‘Bin The Vape’, yang dijalankan dari 25 Julai hingga 31 Ogos, telah melihat orang ramai membuang sekitar 6,000 vape dan komponen berkaitan, bersamaan dengan enam tong penuh.
Alat-alat itu akan dipersiap untuk dibakar bagi tujuan pemusnahan yang betul di bawah pengawasan.
MOH berkata tong pembuangan akan terus disediakan di lokasi terpilih, termasuk di pusat pemeriksaan di sempadan, dan di tempat-tempat di mana program ‘QuitVape’ dan pemulihan ditawarkan.
Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Singapura akan menganggap menghisap vape sebagai isu dadah.
Satu rangkaian hukuman besar, termasuk sebatan dan penjara hingga 20 tahun bagi mereka yang didapati membekalkan etomidate, diumumkan pada 28 Ogos oleh Encik Ong, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.
Sejak 1 September, pengamal perubatan dalam sektor awam dan swasta diwajibkan untuk melaporkan penyalahguna etomidate yang disyaki kepada pihak berkuasa dalam tempoh tujuh hari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg