Lelaki kerja sambilan sebagai penghantar vape dijel
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 14 minggu atas dua pertuduhan libat pemilikan produk tembakau tiruan dan komponennya
Seorang lelaki yang kehilangan wang dek berjudi mencuba nasib dengan membuat kerja sambilan menghantar vape.
Namun, tindakan itu membawanya kepada lebih banyak masalah.
Lee Wenjie, 32 tahun, telah ditahan pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA) di sebuah bangunan komersial yang terletak di 16 Jalan Kilang Timor di Redhill.
Bangunan itu menjadi tempat dia membungkus vape tersebut.
HSA menjumpai 8,539 vape dan 8,697 pod rokok elektronik yang dijual di sebuah unit di bangunan itu.
Pada 3 Februari, Lee dijatuhi hukuman penjara 14 minggu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melibatkan pemilikan produk tembakau tiruan dan komponennya, untuk tujuan penjualan.
Dia juga didenda $3,000 bagi kesalahan berasingan kerana membawa wang tunai melebihi had semasa merentasi Tambak Johor, tanpa melaporkannya kepada pegawai.
Dua lagi pertuduhan berkaitan pemilikan vape dan komponennya untuk dijual telah diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Terence Tay, menekankan kegentingan isu vape itu.
“Saya menerima hakikat bahawa penggunaan vape menimbulkan masalah kesihatan yang serius dan diburukkan lagi oleh hakikat bahawa golongan muda, termasuk pelajar, turut terdedah (kepada vape),” katanya.
Mahkamah dimaklumkan pada Oktober atau awal November 2023, selepas mengalami kerugian besar akibat berjudi di Lorong 23 Geylang, Lee telah meminta untuk bekerja sambilan daripada seorang pengedar.
Pengedar tersebut memperkenalkannya kepada pekerjaan menghantar peranti vape dan komponennya.
Lee diarah ke sebuah unit di Redhill dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan sembang, bagi menerima arahan berhubung penghantaran harian.
Tugas Lee ialah membungkus barangan mengikut pesanan yang diterima.
Lee bersama seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Ryan Leong Chee Wai, mula membungkus pesanan itu sekitar 2 petang dan akan meninggalkan unit itu sekitar 3 petang untuk membuat penghantaran.
Dia dibayar antara $10 dengan $12 bagi setiap perjalanan dan dia membuat antara 10 dengan 20 penghantaran sehari.
Peguam HSA, Encik Vishnu Aditya Naidu, berkata:
“(Lee) sedar sepenuhnya bahawa produk tembakau tiruan dan komponennya adalah haram di Singapura.”
Pada 8 Julai 2024, pegawai HSA telah menjalankan satu operasi di bangunan Redhill itu berdasarkan maklumat yang diterima.
Kira-kira 4 petang, Lee dan Leong telah meninggalkan unit tersebut sambil membawa beberapa bungkusan.
Pegawai HSA menahan kedua-dua lelaki itu dan merampas bungkusan berkenaan yang mengandungi produk tembakau tiruan dan komponennya.
Bungkusan yang Lee bawa mengandungi 186 unit vape dan 345 pod rokok elektronik.
HSA memberitahu The Straits Times bahawa Leong, 44 tahun, telah dikenakan tindakan pada April 2025.

