13 pegawai Certis didakwa simpan vape, rokok seludup dari tong HSA

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

13 pegawai Certis didakwa simpan vape, rokok seludup dari tong HSA

Jan 30, 2026 | 6:20 PM

13 pegawai Certis didakwa simpan vape, rokok seludup dari tong HSA

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
vape, ciggarette, illegal, certis, HSA
Pegawai Certis yang didakwa di Mahkamah Negara pada 30 Januari terdiri daripada 12 lelaki, dan seorang wanita, antaranya (atas, dari kiri) Reggie Choo Beng Kwang, Sufian Mohamed, Olivia Chan Wei Ying, (tengah, dari kiri) Muhammad Syafiq Tahar, Muhammad Khairul Izzul Shah Abdul Karim, Muhammad Faddley Abdul Wahid, (bawah, dari kiri) Mohamed Fiaros Mohamed Zakaria, Nurazmy Yusoff dan Tan Wee Keong. - Foto ST

Sekumpulan pegawai daripada syarikat keselamatan Certis didakwa di mahkamah atas tuduhan menggunakan vape dan rokok tidak dibayar cukai yang mereka peroleh semasa menjalankan tugas.

Ini termasuk rokok tidak dibayar cukai yang dibuang dalam tong Penguasa Sains Kesihatan (HSA) yang ditempatkan di pelbagai pusat pemeriksaan.

Beberapa pegawai didakwa menyalahgunakan vape dan rokok tidak dibayar cukai yang bernilai lebih $18,000, manakala selebihnya didakwa menerima barangan curi bernilai $1,438.

Menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), empat daripada pegawai itu didakwa menghalang siasatan dengan memadam rekod tindakan mereka dan membuang bahan bukti apabila pegawai CPIB mengetuk pintu rumah mereka pada 2022.

Pegawai yang didakwa di Mahkamah Negara pada 30 Januari terdiri daripada 12 lelaki.

Mereka ialah Muhammad Fitri Jaffar, 38 tahun; Reggie Choo Beng Kwang, 32 tahun; Muhammad Syafiq Tahar, 39 tahun; Mohamad Aidil Abu Bakar, 47 tahun; Muhamad Hazim Mohamed Jalil, 33 tahun; Sufian Mohamed, 45 tahun; Muhammad Faddley Abdul Wahid, 38 tahun; Mohamed Fiaros Mohamed Zakaria, 43 tahun; Muhammad Haziq Khamzah, 31 tahun; Muhammad Khairul Izzul Shah Abdul Karim, 38 tahun; Nurazmy Yusoff, 33 tahun; dan Tan Wee Keong, 38 tahun.

Seorang wanita, Olivia Chan Wei Ying, 39 tahun, juga telah didakwa.

Kesemua mereka bekerja sebagai pegawai penguat kuasa di Certis ketika kesalahan dilakukan.

Kastam Singapura dan HSA berkata hasil siasatan, mereka mendapati Fitri, Syafiq, Aidil, Hazim, Faddley, Fiaros, Haziq dan Chan didakwa menyalahgunakan barangan bukan hak milik mereka antara 2019 dengan 2022.

Pegawai penguat kuasa itu dikatakan mengambil barangan yang ditemui – termasuk rokok tidak dibayar cukai, vape, pod vape dan produk tembakau terlarang lain – untuk kegunaan peribadi.

Nilai barangan tersebut ialah $18,327.

Fitri, Syafiq, Aidil, Hazim, Sufian, Faddley, Fiaros, Haziq, Khairul dan Nurazmy juga dituduh menerima barangan curi – termasuk rokok tidak dibayar cukai serta pod vape – daripada sesama mereka serta daripada individu lain antara 2021 dengan 2022.

Nilai barangan curi itu dianggarkan sebanyak $1,438.

Sementara itu, Faddley, Fiaros, Choo dan Tan dituduh menghalang proses keadilan semasa siasatan CPIB pada 2022.

Pada 2022, Faddley, Syafiq, Aidil dan Hazim ditangkap bersama produk vape yang mereka kata digunakan untuk kegunaan peribadi.

Produk itu didakwa datang daripada rampasan yang dilakukan.

Fitri, Syafiq, Aidil dan Faddley juga dituduh mengambil rokok tidak dibayar cukai daripada tong pelupusan HSA di pelbagai pusat pemeriksaan untuk kegunaan peribadi.

Sebagai sebahagian daripada tugas mereka, keempat-empat lelaki itu bertanggungjawab melupuskan rokok dan vape di dalam tong pelupusan.

Kesemua 13 pegawai Certis itu akan hadir untuk sesi praperbicaraan pada 5 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg