Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki maut insiden tikaman di Clementi, suspek 50 tahun ditahan

Oct 22, 2024 | 11:24 AM
Puluhan anggota polis dilihat berada di kawasan terbuka antara Blok 311B dengan 311C, dengan sebahagian besar kawasan itu dikepung.
Puluhan anggota polis dilihat berada di kawasan terbuka antara Blok 311B dengan 311C, dengan sebahagian besar kawasan itu dikepung. - Foto ST

Seorang lelaki berusia 50 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kematian seorang lelaki berusia 41 tahun, yang ditemui tidak sedarkan diri di kolong blok perumahan Clementi pada 21 Oktober.

Mangsa telah dibawa ke hospital di mana beliau meninggal dunia, kata polis. Siasatan awal menunjukkan kedua-dua lelaki itu mengenali antara satu sama lain.

Polis berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan pada 5 petang mengenai kejadian di Clementi Avenue 4 itu dan suspek telah ditahan di tempat kejadian.

Apabila akhbar The Straits Times tiba di Blok 311B kira-kira 7.30 malam, Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Holland-Bukit Timah Cik Sim Ann dilihat menenangkan seorang lelaki dan wanita warga emas, yang sedang menangis.

Dalam rakaman video kejadian yang dirakam penduduk, suspek dilihat mengejar mangsa hingga ke kolong Blok 311B.

Mangsa kelihatan tersandung penutup longkang dan terjatuh, dan suspek seolah-olah menikamnya berulang kali dengan objek kecil.

Orang ramai kedengaran menjerit memintanya berhenti, dan seorang wanita berpakaian merah serta seorang atendan tempat letak kereta cuba menarik suspek, menjauhkannya daripada mangsa.

Mangsa kemudian menendangnya dan merangkak pergi.

Beberapa saat kemudian, suspek melompat ke arahnya dan berjaya menikamnya sekali lagi.

Mangsa kemudian rebah tertiarap dan berhenti bergerak.

Penduduk yang tidak mahu dikenali berkata, suspek kemudian menaiki sebuah kereta berwarna hitam dan memandu ke tempat letak kereta bertingkat berhampiran.

Dia kemudian merempuh kereta itu berulang kali ke kenderaan lain sebelum menuju ke susur keluar tempat letak kereta, dan memberhentikan kereta tersebut di situ.

Suspek kemudian berkata dia akan menyerah diri, keluar daripada kereta dan berbaring di lantai sebelum pegawai polis menahannya, kata penduduk.

Puluhan pegawai polis kemudian dilihat berada di kawasan lapang antara blok 311B dengan 311C, di mana sebahagian besar kawasan itu telah dikepung.

Cik Corina Sim, 29, seorang penduduk di kawasan itu berkata, beliau melihat seorang wanita melakukan mampatan dada ke atas mangsa.

“Ia berlaku dengan begitu cepat. Apabila saya turun dengan niat ingin membantu, polis dan ambulans sudah pun tiba,” katanya.

“Saya terkejut apabila jiran memberitahu mangsa ditikam. Saya fikir ia adalah pergaduhan menumbuk. Saya berasa loya apabila saya melihat darah. Terdapat begitu banyak darah.”

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia menerima panggilan untuk bantuan sekitar 5 petang, dan paramedik membawa seseorang ke Hospital Besar Ng Teng Fong.

Seorang lagi telah dinilai untuk kecederaan ringan oleh paramedik SCDF tetapi enggan dibawa ke hospital, tambahnya.

Kemudian, dalam catatan Facebook, Cik Sim Ann berkata: “Satu kejadian berlaku di Trivelis tengah hari ini melibatkan dua penduduk, mengakibatkan kematian.

“Saya telah bertemu ahli keluarga mendiang bersama-sama sukarelawan kami untuk mengucapkan takziah dan menawarkan sokongan kepada mereka dalam masa kesedihan.”

Cik Sim Ann, yang juga Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara, mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang cuba membantu kerana semangat awam mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg