Empat lelaki yang dituduh merakam diri mereka mengejek dan mengganggu secara lisan seorang pegawai polis yang bertugas didakwa pada 25 September.
Md Dino Marciano Abdul Wahab, 44 tahun; Alex Kumar Gnanasekaran, 37 tahun; Mohamed Eusof Mohamed Yahiya, 32 tahun; dan Mohanan V Balakrishnan, 38 tahun; masing-masing didakwa atas satu tuduhan gangguan (harassment), dan satu tuduhan menyebabkan gangguan awam.
Mereka berkata akan mendapatkan khidmat peguam.
Mereka dituduh cuba melintasi kawasan yang dikepung polis di Sam Leong Road, berhampiran Jalan Besar, pada kira-kira 5 pagi, 22 September.
Kawasan itu dikepung untuk mengekalkan keadaan tempat berlakunya satu pembunuhan.
Kes itu melibatkan seorang lelaki berusia 25 tahun yang maut dan seorang lelaki muda cedera, berhampiran Kim San Leng Eating House di Verdun Road pada 22 September.
Berkaitan kes itu, Muhammad Sajid Saleem, 22 tahun, didakwa atas tuduhan membunuh manakala lima individu didakwa atas tuduhan merusuh dengan senjata maut ketika berada dalam satu perhimpunan terlarang.
Tiga lelaki dalam kumpulan yang didakwa pada 25 September itu dikatakan mengejek Sarjan Wayne Lim Chee Kiat, yang dikerah itu di kawasan dikepung itu, manakala lelaki keempat merakam kejadian tersebut.
Sarjan Lim telah menasihatkan empat lelaki itu supaya menggunakan jalan alternatif.
Dalam video hampir dua minit yang dimuat naik di media sosial itu, kumpulan tersebut dilihat bertengkar dan mencemuh Sarjan Lim dengan menggunakan kata-kata kesat.
Dalam satu kenyataan pada 24 September, polis berkata pegawai penyiasat berjaya mengenal pasti identiti keempat-empat lelaki itu selepas kejadian pada 22 September, dan menangkap mereka pada hari berikutnya.
Kes mereka ditangguhkan hingga siasatan polis selesai, dan akan mereka kembali ke mahkamah pada 8 Oktober.
Polis berkata mereka tidak akan bertolak ansur dengan sebarang gangguan terhadap pegawai yang sedang menjalankan tugas, dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka.
Mereka yang didapati bersalah menggunakan bahasa kesat terhadap penjawat awam boleh dikenakan hukuman penjara hingga setahun, denda hingga $5,000, atau kedua-dua hukuman.
Mereka yang didapati bersalah menyebabkan gangguan awam boleh dipenjara hingga tiga bulan, didenda hingga $2,000, atau dikenakan kedua-dua hukuman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg