Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki M’sia ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands cuba seludup 3kg kanabis, 1.7kg Ice

Dec 29, 2025 | 4:26 PM
dadah, drugs, cannabis, ice, kanabis, ICA, CNB, seludup
Seorang lelaki warga Malaysia ditahan atas cubaan menyeludup dadah selepas ditemui dengan tujuh bungkusan mengandungi 3,272 gram kanabis dan 1,709 gram Ice di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 22 Disember. - Foto ICA, CNB

Seorang lelaki warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan atas cubaan menyeludup dadah selepas ditemui dengan lebih tiga kilogram kanabis dan 1.7 kilogram methamphetamine atau dikenali sebagai Ice di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 22 Disember.

Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, mereka yang mengimport atau mengeksport lebih 250 gram methamphetamine atau 500 gram kanabis boleh berdepan hukuman mati. 

Dalam satu kenyataan bersama pada 29 Disember, Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan bahawa lelaki itu telah dirujuk untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada malam 22 Disember.

Langkah itu dilakukan berdasarkan maklumat yang diterima Pusat Sasaran Bersepadu (ITC) ICA.

ITC menggunakan analisis data untuk memeriksa pelancong, pengangkutan dan kargo sebelum tiba di Singapura. 

Mereka yang dianggap berisiko tinggi akan disaring untuk pemeriksaan, setibanya di Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Sebanyak tujuh bungkusan, dipercayai mengandungi dadah terkawal, ditemui selepas lelaki itu menjalani pemeriksaan. 

Bungkusan tersebut mengandungi 3,272 gram kanabis dan 1,709 gram Ice, menurut kenyataan bersama itu.

Dadah yang dirampas bernilai lebih $237,000 dan boleh membekalkan keperluan sekitar 1,440 penagih selama seminggu, tambah pihak berkuasa.

Siasatan masih dijalankan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg