Polis memberkas lebih 500 orang dalam operasi penguatkuasaan terhadap kegiatan jenayah dalam tempoh perayaan hujung tahun.
Operasi tersebut turut menyasarkan pemandu dan pusat hiburan awam yang menyalahi undang-undang.
Dalam kenyataan pada 27 Disember, polis berkata pegawai pasukannya serta pegawai dari pelbagai agensi lain telah menjalankan lebih 1,400 operasi sejak 22 November.
Operasi akhir tahun tersebut bertujuan mencegah kegiatan yang menyalahi undang-undang semasa tempoh perayaan dan menyasarkan pelbagai kesalahan, termasuk memandu ketika mabuk, vape, dadah, pekerjaan yang dijalankan secara haram dan kesalahan imigresen.
Para pegawai telah memeriksa lebih 15,900 orang semasa operasi dan menahan 546 daripada mereka, lapor The Straits Times.
Seramai 1,771 orang berumur 15 hingga 88 tahun, terdiri daripada 1,161 lelaki dan 610 wanita, sedang disiasat, tambah polis.
Serbuan di pusat hiburan awam itu susulan pengumuman Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 1 Disember bahawa ia akan membatalkan skim Permit Kerja (Artis Persembahan) mulai 1 Jun 2026.
Ini adalah menyusuli penyalahgunaan skim itu, melibatkan sindiket yang menggunakan saluran hiburan awam untuk mengupah artis luar negara yang kemudiannya didapati bekerja di pusat hiburan awam lain sebagai “pelayan bebas”.
Operasi dari 3 hingga 6 Disember menyasarkan kegiatan terlarang di kedai-kedai tersebut dan di pusat urut, unit kediaman dan unit komersial.
Seramai 10 lelaki dan 37 wanita berusia antara 20 dengan 88 tahun sedang disiasat berhubung kegiatan itu.
Sebanyak dua pusat urut dan dua pusat hiburan awam turut disiasat.
Pihak media telah mengiringi pihak berkuasa pada 20 Disember dalam operasi yang menyasarkan pusat hiburan awam di Macpherson Road dan seorang lelaki berusia 43 tahun kemudian ditemui dengan vape.
Lewat malam itu dan pada awal pagi 21 Disember, pihak media menyaksikan operasi penguatkuasaan terhadap kegiatan memandu dalam keadaan mabuk.
Operasi penguatkuasaan trafik itu dijalankan menjelang pelaksanaan denda yang dipertingkat bagi mereka yang memandu dengan laju, yang akan bermula dari 1 Januari 2026.
Pemeriksaan yang dijalankan seluruh negara itu menyaksikan 14 penangkapan atas pelbagai kesalahan berkaitan trafik, termasuk memandu tanpa lesen yang sah dan memandu semasa tidak dibenarkan.
Polis berkata 10 daripada tangkapan adalah disebabkan kegiatan memandu dalam keadaan mabuk.
Seorang pemandu dikesan mempunyai kadar alkohol sebanyak 73 mikrogram bagi setiap 100 mililiter nafas, lebih dua kali ganda had undang-undang, iaitu 35 mikrogram.
Walaupun sebahagian besarnya adalah operasi penguatkuasaan trafik, para pegawai turut menemukan lapan orang dengan sejumlah 37 vape dan komponen vape, yang kemudiannya dirampas.
Lebih 2,700 orang telah didenda atas kesalahan berkaitan vape sejak hukuman lebih berat berkuat kuasa pada 1 September.
Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis Leon Chan, pengarah Jabatan Operasi, berkata pihak berkuasa akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
“Operasi ini menekankan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan Singapura selamat, terutamanya semasa tempoh perayaan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg