Seorang lelaki dilihat muntah di dalam gerabak kereta api MRT Laluan Downtown, sambil diperhatikan penumpang lain.
Rakaman kejadian itu dimuat naik ke Facebook pada 31 Oktober.
Video itu menunjukkan lelaki itu berpaut pada salah satu tingkap kereta api dengan cecair mengalir dari bajunya.
Beliau kelihatan sedang muntah ke atas kerusi.
Cecair, dipercayai muntah lelaki itu, mengalir di sepanjang lantai gerabak.
Mengikut pengumuman kereta api dalam video itu, kejadian itu berlaku ketika kereta api itu berhenti di stesen Bedok Reservoir.
Sebagai tindak balas kepada pertanyaan akhbar, jurucakap SBS Transit, Cik Grace Wu, berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 3:45 petang pada 31 Oktober.
“Apabila kereta api tiba di stesen Expo, kakitangan dan pembersih kami menaikinya dan menemui seorang lelaki yang memerlukan bantuan,” kata Cik Wu.
Jurucakap itu mengesahkan lelaki itu muntah dalam kereta api tersebut dan dibawa keluar dari situ oleh kakitangan stesen.
Sementara itu, pasukan pembersihan terus membersihkan kabin yang terjejas.
Kereta api itu juga dihantar untuk pembersihan menyeluruh dan pembasmian kuman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg