Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki serang pegawai keselamatan diarah jalani rawatan wajib

Oct 27, 2025 | 4:49 PM
Alina Meridian, autisme
Alina Meridian, 31 tahun, yang didapati menghidap gangguan spektrum autisme, mengaku bersalah atas pertuduhan menyerang seorang pengawal keselamatan di stesen MRT pada 24 September 2025. - Foto ST

Seorang lelaki, yang tidak berpuas hati dengan seorang pegawai keselamatan Certis di stesen MRT dan menyerangnya, telah dijatuhkan hukuman perintah rawatan wajib selama dua tahun pada 27 Oktober.

Alina Meridian, 31 tahun, yang menurut hakim didapati menghidap “gangguan spektrum autisme” dan tidak dapat menyesuaikan tingkah lakunya dengan sewajarnya pada masa kejadian, mengaku salah atas pertuduhan melakukan serangan pada 24 September.

Menurut akhbar The Straits Times (ST), pesalah yang diberi perintah rawatan wajib perlu menjalani rawatan untuk menangani masalah mereka sebagai ganti hukuman penjara.

Meridian diwakili oleh peguam, Encik Sunil Sudheesan dan Cik Joyce Khoo.

Dalam prosiding terdahulu, mahkamah mendengar Meridian, seorang warga Singapura, telah ke stesen MRT Lorong Chuan sejurus sebelum 8 pagi pada 17 Ogos 2024, ketika dia ingin pergi ke Aperia Mall di Kallang.

Pegawai keselamatan, Cik Cindy Tay Jui Hwa, 65 tahun, menyuruhnya berhenti ketika dia berjalan menuju ke sebuah gantri dan meminta untuk memeriksa begnya.

“Dia terus menjadi marah dan melemparkan begnya ke lantai. Dia memberitahu Cik Tay beliau boleh mengambil begnya... jika beliau mahu menjalankan pemeriksaan keselamatan.

“Tertuduh enggan mengambil begnya untuk pemeriksaan. Tertuduh juga meminta pegawai keselamatan supaya segera melakukan pemeriksaan kerana dia dalam keadaan tergesa-gesa,” kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nicole Teo kepada mahkamah pada September.

Meridian kemudian menolak bahu Cik Tay dari arah depan hingga menyebabkan beliau jatuh.

Dia kemudian mengambil begnya dan terus berjalan melepasi gantri menuju ke platform stesen walaupun seorang pengurus stesen MRT cuba menghalangnya daripada berbuat demikian.

Cik Tay, yang kepalanya berdarah, dikejarkan ke jabatan kecemasan Hospital Tan Tock Seng dan kemudian diberi cuti perubatan pesakit luar selama lima hari.

Pegawai dari Divisyen Polis Ang Mo Kio berjaya mengenal pasti identiti Meridian dan menahannya sehari selepas kejadian itu, kata polis sebelum ini.

Bagi kesalahan menyerang, pesalah boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga $5,000 atau kededuanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg