Seorang lelaki Singapura, 28 tahun, meninggal dunia selepas mengalami penyakit altitud akut, iaitu berkaitan ketinggian, dalam usaha untuk mendaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania.
Kumpulan ekspedisi Adventures Unlimited dalam satu catatan Facebook pada Sabtu pada 3.41 pagi berkata: “Kami telah menerima berita sedih mengenai sebuah tragedi yang berlaku di trek Kilimanjaro.
“Salah seorang daripada anggota kumpulan kami, Encik Darrel Phee, telah kehilangan nyawanya semasa ekspedisi itu.”
Tidak diketahui bila Encik Phee meninggal dunia, tetapi ekspedisi itu dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 11 Ogos.
Syarikat Adventures Unlimited menambah bahawa paras oksigen dan kadar jantung Encik Phee serta para anggota kumpulan yang lain dipantau setiap hari, dan juga sering diperiksa sekiranya terdapat tanda-tanda penyakit altitud.
“Ukuran dan tanda-tanda Darrel dalam keadaan normal sepanjang hari pendakian itu,” menurut catatan itu lagi.
“Namun, pada pagi puncak pendakian, paras oksigennya menjunam dan kadar degupan jantungnya meningkat. Sejajar dengan protokol keselamatan, keputusan diambil bahawa beliau tidak akan meneruskan pendakian dan sebaliknya turun ke bawah dengan seorang pemandu pendaki.”
Encik Phee kemudian dipantau dengan teliti di tapak kem, tambah Adventures Unlimited.
Ia menyatakan: “Malangnya, akibat penyakit altitud dan komplikasi kesihatan yang serius, keadaannya semakin merosot dan beliau meninggal dunia. Punca kematian seperti yang dinyatakan ialah asfiksia/Hape.”
Asfiksia ialah keadaan di mana tubuh tidak mempunyai bekalan oksigen yang mencukupi sehingga boleh menyebabkan kematian.
Edema pulmonari ketinggian tinggi (Hape) terjadi apabila cecair berlebihan dihasilkan paru-paru tubuh menyebabkan kesukaran bernafas dan keletihan. Keadaan itu boleh membawa maut.
Dalam catatannya, Adventures Unlimited berkata kematian di Gunung Kilimanjaro jarang berlaku, kurang satu peratus pendaki.
Namun, ia menambah faktor seperti altitud tinggi, keadaan cuaca yang teruk, keadaan fizikal pendaki serta cabaran fizikal pendakian boleh menyebabkan kematian.
Ia berkata: “Ini merupakan tempoh mencabar bagi keluarga Encik Phee dan tumpuan utama kami ialah membantu keluarga dalam masa-masa sukar ini.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg