OPERASI mencari dan menyelamat melibatkan beberapa pasukan sedang giat dijalankan untuk pendaki Singapura, Encik Shrinivas Sainis Dattatraya, yang hilang selepas mendaki puncak Gunung Everest.
Ini menurut penganjur ekspedisi yang berpangkalan di Nepal, Encik Prakash Chandra Devkota, pemilik Nepal Guide Treks and Expedition, yang ditukil The Straits Times (ST).
Ahli keluarga Encik Shrinivas juga telah ke Nepal untuk bertemu pasukan penyelamat.
Syarikat Encik Devkota dan Seven Summit Treks, pengendali pelancongan pengembaraan yang berpangkalan di Nepal, menganjurkan pendakian Gunung Everest bagi Encik Shrinivas.
Encik Devkota berkata pasukan yang terdiri daripada tiga Sherpa masing-masing telah mencari lelaki berusia 39 tahun itu.
Encik Devkota turut berkongsi foto pendaki itu sampai ke puncak pada 19 Mei sebelum hilang.
Dalam gambar itu, Encik Shrinivas, pengurus kanan kejuruteraan perisian di firma teknologi hartanah JLL Technologies, memakai pakaian musim sejuk berwarna oren, cermin mata hitam dan topeng oksigen, dikelilingi bendera warna-warni yang menandakan puncak gunung iaitu 8,849 meter.
Beliau memegang tali dengan tangan kanannya, dan berdiri tegak di puncak gunung itu.
Dalam gambar lain, Encik Shrinivas dilihat terlentang, dikelilingi tiga pendaki lain.
Laporan ST pada Ahad menyatakan Encik Shrinivas kali terakhir menghantar mesej teks kepada isteri, Cik Sushma Soma, 36 tahun, pada Jumaat menggunakan telefon satelit dan menyatakan beliau telah sampai ke puncak Gunung Everest.
Tetapi beliau memberitahu Cik Sushma bahawa beliau mengalami edema serebrum altitud tinggi (Hace), sejenis penyakit altitud tinggi teruk yang boleh membawa maut, dan tidak mungkin dapat membuat perjalanan turun dari gunung.
Cik Soma, mengetahui pada jam 2 pagi pada Sabtu bahawa dua Sherpa yang bersamanya dan seorang lagi pendaki dalam kumpulan itu berjaya turun dari gunung, tetapi suaminya tidak membuat perjalanan sedemikian.
Dalam video berdurasi 90 saat yang dilihat ST, pendaki lain tersebut menggambarkan bagaimana kumpulan itu turun dari gunung itu.
Lelaki yang dirujuk oleh pembesar suara di luar kamera sebagai “Martin”, berkata kumpulan itu tiba di puncak gunung sekitar jam 9 pagi.
Lelaki itu berkata beliau bersendirian, manakala Encik Shrivinas bersama dua Sherpa.
Beliau berkata beliau telah berlari ke Camp Four, kem terakhir sebelum pendaki gunung sampai ke puncak.
Video itu tidak mendedahkan lebih banyak maklumat.
Encik Devkota berkata salah seorang Sherpa, Encik Dendi, telah cuba menyelamatkan Encik Shrinivas tetapi beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Beliau berkata Encik Dendi mengalami reput fros pada jarinya dan dimasukkan ke hospital.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg