Seorang lelaki, yang dirakam dalam dua video menanggalkan palang adangan gantri tempat letak kereta, didakwa pada 13 Jun atas kesalahan mencuri dan melakukan perbuatan nakal.
Kew Ah Hing, warga Malaysia berusia 46 tahun yang juga pengarah beberapa syarikat, termasuk Durian Heng Union dan Kian Heng Truck Body Builder, dituduh menggunakan pisau lipat untuk menanggalkan empat palang adangan di tempat letak kereta Bangunan West Connect di Buroh Street di Pioneer sejurus sebelum 7.30 malam pada 24 Mei.
Penduduk Tetap (PR) Singapura itu dikatakan menyimpan palang adangan tersebut di premis Kian Heng Truck Body Builder di tingkat enam bangunan tersebut.
Kew juga dituduh menggunakan pemotong logam untuk merosakkan dua penutup cakera hiasan di tengah roda di bangunan itu pada petang hari tersebut. Dua penutup cakera hiasan di tengah roda itu berharga $500.
Dalam satu kenyataan, polis berkata Kew ditangkap pada 12 Jun dan dia “sengaja memuat naik video perbuatannya secara terang-terangnya di media sosial”.
Dalam salah satu video itu, seorang lelaki dilihat mengarahkan dua orang lain menggunakan sejenis alat untuk menanggalkan cakera hiasan di tengah roda itu.
Dia kemudian menggunakan pisau lipat untuk menanggalkan tiga palang adangan, yang diletak di dalam kenderaannya, untuk keluar dari situ. Dia menanggalkan satu lagi palang adangan dalam satu lagi video.
Kes Kew ditangguh ke 27 Jun. Jika disabit kesalahan mencuri, dia boleh dipenjara hingga tiga tahun dan didenda.
Pesalah yang disabit melakukan perbuatan nakal boleh dipenjara hingga dua tahun dan didenda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg