Seorang lelaki berusia 36 tahun didakwa di mahkamah pada Rabu selepas dia dituduh menembak sekawan burung dengan menggunakan lastik di Jurong West, kata polis pada 12 September.
Yu Xueyao, 36 tahun juga dipercayai merosakkan tingkap dapur sebuah unit flat Lembaga Perumahan dan pembangunan (HDB) di Jurong West Street 61, dengan pelet lastik itu.
Polis menyatakan pada Selasa bahawa mereka mengetahui tentang kejadian itu pada Isnin lalu dan sudah mengenal pasti identiti suspek selepas siasatan lanjut dijalankan.
Menggunakan lastik, Yu dituduh menembak pelet logam dan tanah liat ke arah sekawan burung, kata polis, hasil siasatan awal mereka.
Yu telah ditahan di Jurong West Street 61 pada 24 April lalu.
Pegawai polis merampas pelbagai jenis pelet tanah dan logam, dua lastik dan satu patung besi yang digunakan sebagai latihan sasaran, menurut laporan The Straits Times.
Yu didakwa di mahkamah kerana membawa senjata serangan di tempat awam, melakukan perbuatan terburu-buru dan kezaliman terhadap haiwan.
Jika didapati bersalah membawa senjata di tempat awam, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan hukuman sekurang-kurangnya enam sebatan.
Jika disabit kesalahan melakukan perbuatan terburu-buru, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sebanyak $2,500 atau kededuanya sekali.
Selain itu, bagi kesalahan kekejaman terhadap haiwan, dia boleh dipenjara sehingga 18 bulan, didenda sebanyak $15,000 atau kededuanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg