Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki terkena peluru tersasar di kawasan larangan disiasat kerana ceroboh 

Jun 18, 2025 | 7:43 PM
Lelaki itu sedang menunggang basikal pada 15 Jun di Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah (CCNR) apabila dia terkena tembakan. Kawasan tersebut diwartakan untuk latihan menembak menggunakan peluru hidup bagi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). 
Lelaki itu sedang menunggang basikal pada 15 Jun di Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah (CCNR) apabila dia terkena tembakan. Kawasan tersebut diwartakan untuk latihan menembak menggunakan peluru hidup bagi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).  - Foto ST

Penunggang basikal yang terkena tembakan ketika menunggang di kawasan larangan yang diwartakan bagi latihan menembak menggunakan peluru hidup kini disiasat atas kesalahan menceroboh dengan sengaja.

Polis berkata pada 18 Jun bahawa siasatan masih dijalankan, lapor The Straits Times (ST).

Penunggang berumur 42 tahun itu, yang tidak dikenal pasti, sedang menunggang basikal pada 15 Jun di Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah (CCNR) – yang terletak antara kolam air Upper Seletar dengan Upper Peirce.

Kawasan tersebut diwartakan untuk latihan menembak menggunakan peluru hidup bagi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). 

Pada masa itu, SAF sedang menjalankan latihan di Nee Soon Range, kira-kira 2.3 kilometer (km) dari tempat lelaki itu cedera.

Lelaki tersebut mengalami kecederaan akibat tembakan, dengan peluru tertanam di bahagian bawah belakang kirinya.

Polis berkata rakan-rakan beliau membawanya ke Hospital Universiti Nasional (NUH) pada hari yang sama.

Kecederaannya tidak mengancam nyawa, kata polis dalam satu kenyataan sebelum ini.

Lelaki itu berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru tersebut.

Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata bahawa di bawah Akta Gerakan Tentera, individu tanpa kebenaran, dilarang memasuki kawasan yang diwartakan untuk latihan menembak SAF yang menggunakan peluru hidup demi keselamatan.

Kawasan tersebut mempunyai papan tanda amaran larangan memasukinya tanpa kebenaran.

Menurut Lembaga Taman Negara (NParks), CCNR merupakan hutan simpanan semula jadi terbesar di Singapura, dengan lebih 2,000 hektar tanah hutan dan lebih 20 km tempat laluan.

Jejak Woodcutter’s ialah laluan berbasikal tidak rasmi yang popular di CCNR, terkenal dengan cerun curam dan trek berliku.

Ia terletak di kawasan larangan yang ditutup kepada orang awam.

Penunggang biasanya bermula di Taman Alam Semula Jadi Chestnut di Bukit Panjang dan berbasikal kira-kira 6 km untuk sampai ke laluan tersebut, dan biasanya akan keluar berhampiran Tempat Membakar Mayat Mandai atau Kolam Air Seletar melalui kawasan yang jelas ditanda sebagai kawasan larangan.

ST mendapati pada 17 Jun terdapat papan tanda jelas di sekitar taman yang memberi amaran tentang kawasan latihan menembak menggunakan peluru hidup dan meminta pengunjung agar menjauhkan diri.

Namun, sesetengah penunggang basikal dan pendaki memilih untuk mengabaikan papan tanda tersebut.

Di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Lain (Keamanan dan Gangguan Awam), hukuman bagi kesalahan menceroboh dengan sengaja adalah denda $1,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg