Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki tipu tawar khidmat teksi rentas Tambak secara haram dijel

Aug 13, 2025 | 8:00 PM
perkhidmatan teksi rentas sempadan haram, lelaki dijel
Dengan menyamar sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan merentas sempadan, Tan Wei Yap, menerima wang pendahuluan daripada pelanggan berpotensi, kemudian memutuskan hubungan dengan mereka. - Foto Fail BT

Seorang pemandu yang menyediakan perkhidmatan teksi rentas sempadan secara haram antara Singapura dengan Malaysia telah bertindak lebih buruk dengan menipu para pelanggannya.

Menyamar sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan, Tan Wei Yap, telah menerima wang pendahuluan daripada mangsa, tetapi kemudian memutuskan komunikasi dengan mereka.

Lelaki berusia 32 tahun dari Malaysia itu dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan pada 13 Ogos, selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan menipu. Lima tuduhan serupa turut diambil kira semasa penentuan hukuman, lapor The Straits Times (ST).

Mahkamah diberitahu Tan, yang juga dikenali sebagai ‘Sky’, adalah pemandu di sebuah syarikat Malaysia yang menyediakan perkhidmatan teksi merentas sempadan secara haram. 

Dia memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 ($305) hingga RM5,000 sebulan, tetapi mula menipu pelanggan apabila menghadapi masalah kewangan.

Sepanjang sembilan bulan antara 16 April 2024 dengan 8 Januari 2025, Tan menipu sekurang-kurangnya lima mangsa dengan jumlah sekitar $1,862.

Tan memantau media sosial bagi permintaan perkhidmatan teksi merentas sempadan, lalu menghubungi mangsa berpotensi dengan menyamar sebagai wakil ‘Sky Ye Transport’ dan meminta wang cengkeram. 

Setelah bayaran diterima, dia mengesahkan tempahan dan menghantar foto kenderaan.

Pada hari pengambilan yang dijadual, Tan tidak muncul dan ‘hilang’ apabila mangsa menghubunginya.

Salah seorang mangsa bersetuju menggunakan khidmat Tan diminta membayar wang cengkeram RM2,500 dan RM2,500 lagi selepas perjalanan selesai.

Namun, selepas membayar wang cengkeram pertama, Tan meminta wang tambahan bagi “insurans perjalanan wajib”.

Mangsa menyedari sesuatu yang tidak kena dan meminta wang pendahuluan dipulangkan.

Namun, Tan memberi jaminan syarikatnya berlesen dan mangsa akan dikenakan penalti 30 peratus jika mahu memulangkan deposit.

Mangsa kemudian berkata akan melaporkan perkara itu kepada polis.

Menyusuli satu laporan polis dibuat oleh mangsa lain pada 23 Januari, Tan diletakkan dalam senarai imigresen.

Pada 30 Januari, Tan ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika cuba memasuki Singapura dengan kereta sekitar 8 pagi.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah memaklumkan polis dan mengarahkan Tan untuk melapor diri kepada pegawai penyiasat (IO) keesokan harinya, serta memberitahunya dia tidak dibenarkan meninggalkan Singapura. 

Tan menerima arahan tersebut namun, dia cuba meninggalkan Singapura ke Johor Bahru pada 8.20 malam hari yang sama dan sekali lagi ditahan.

Tan ditangkap pada 31 Januari dan didakwa di mahkamah keesokan harinya. Dia tidak membuat sebarang bayaran semula kepada mangsa.

Pihak berkuasa giat membanteras perkhidmatan pengangkutan haram merentas sempadan, dengan 19 pemandu ditangkap dalam operasi bersama ICA dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 5 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg