Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang mempertimbangkan langkah menambah bilangan tempat menaiki dan turun dari teksi rentas sempadan berlesen antara Singapura dengan Malaysia.
Ia di samping mengkaji penggunaan aplikasi menempah khidmat pengangkutan (ride-hailing) bagi menempah perjalanan teksi berlesen sedemikian.
Dalam satu kenyataan pada 3 Ogos, LTA menyatakan sungguhpun ia terbuka kepada saranan bagi meningkatkan pengalaman pengangkutan rentas sempadan bagi pengguna, pihak berkuasa tersebut “tiada rancangan melonggarkan sepenuhnya pengangkutan rentas sempadan dari satu tempat ke satu tempat melalui khidmat tempahan pengangkutan”.
Kenyataan LTA itu dikeluarkan susulan laporan media Malaysia baru-baru ini berkenaan cadangan khidmat pengangkutan rentas sempadan melalui khidmat tempahan pengangkutan yang bakal diperkenalkan kelak.
Ia memetik Menteri Besar Johor, Encik Onn Hafiz Ghazi, sebagai berkata cadangan itu adalah antara perkara yang dibincangkan semasa pertemuannya dengan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, pada 1 Ogos dalam satu pertemuan antara kedua-dua pihak.
Pertemuan tersebut adalah sempena lawatan rasmi Encik Onn Hafiz ke Singapura dari 30 Julai hingga 1 Ogos, menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 29 Julai.
Menjelaskan laporan media sedemikian, LTA menyatakan antara isu yang dibangkitkan dalam pertemuan antara kededua pihak itu adalah bagi membenarkan aplikasi menempah perkhidmatan ride-hailing membawa penumpang rentas sempadan kedua-dua negara.
Namun, tiada keputusan muktamad telah dibuat.
LTA berkata: “Terdapat Skim Teksi Rentas Sempadan (CBTS) timbal balik sedia ada yang membenarkan hingga 200 teksi berlesen dari Malaysia dan Singapura untuk membawa penumpang antara Singapura dengan Johor Bahru.
“Kuota CBTS sedia ada belum dimanfaatkan sepenuhnya. Dengan mengambil kira permintaan pengguna bagi perjalanan rentas sempadan yang lebih mudah, kami menggalakkan penggunaan penuh kuota teksi berlesen.”
Ia menambah, sebarang perubahan kepada CBTS, iaitu satu pengaturan timbal balik antara dua negara, memerlukan perjanjian daripada pemerintah Singapura dan Malaysia.
Teksi berlesen di bawah CBTS dibenarkan mengambil dan menurunkan penumpang di Larkin Sentral, Johor Bahru, untuk teksi Singapura, dan Terminal Ban San Street di Singapura, bagi teksi Malaysia.
Sementara itu, pihak berkuasa Malaysia turut menyuarakan permintaan kepada Singapura agar perkhidmatan bas rentas sempadan mula beroperasi seawal 4 pagi di Johor Bahru dalam pertemuan tersebut.
Waktu operasi itu adalah lebih awal dari waktu operasi sediakala, iaitu 5 pagi secara umumnya – khidmat bas 160 oleh pengendali SBS Transit misalnya mula beroperasi dari Pusat Pemeriksaan Johor Bahru pada 5 pagi pada hari bekerja.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, ditukil oleh media tempatan Malaysia sebagai berkata barisan panjang penumpang ke Singapura mula dilihat di Pusat Pemeriksaan Johor Bahru seawal 4 pagi.
Dengan perubahan pada jadual operasi bas yang bermula lebih awal, ia diharap dapat menangani kesesakan dan kesibukan pagi, ujarnya.
Sehubungan itu, LTA berkata ia sedang menilai jika waktu operasi perkhidmatan itu boleh diselaraskan.
“Pertimbangan utama ialah bas pertama harus sepadan dengan masa bermulanya perkhidmatan bas dan MRT setempat apabila ia tiba di Singapura,” kata LTA.
LTA juga sedang meninjau bersama pengendali bas rentas sempadan kemungkinan memperkenalkan masa mula bas lebih awal, serta melibatkan pengendali bas swasta berkenaan minat mereka untuk mengendalikan perkhidmatan lebih awal pada tambang yang lebih tinggi.
“
Terdapat Skim Teksi Rentas Sempadan (CBTS) timbal balik sedia ada yang membenarkan hingga 200 teksi berlesen dari Malaysia dan Singapura untuk membawa penumpang antara Singapura dengan Johor Bahru. Kuota CBTS sedia ada belum dimanfaatkan sepenuhnya. Dengan mengambil kira permintaan pengguna bagi perjalanan rentas sempadan yang lebih mudah, kami menggalakkan penggunaan penuh kuota teksi berlesen.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg