Seorang lelaki berusia 65 tahun yang didakwa membunuh jirannya di sebuah flat di Bukit Batok pada Januari ditahan reman selama empat minggu lagi pada 9 Februari.
Pihak pendakwa memohon tempoh lanjutan itu bagi membuat penilaian psikologi terhadap Quek Eng Hock.
Dia hanya dapat melalui penilaian baru-baru ini kerana tidak sihat, lapor The Straits Times.
Quek hadir di mahkamah melalui panggilan video sekitar 9.15 pagi, dan bertanya dalam bahasa Mandarin sama ada adik lelaki dan adik perempuannya hadir.
Nama mereka dipanggil, tetapi tiada siapa yang tampil.
Quek didakwa membunuh jirannya, seorang wanita berusia 43 tahun, di sebuah unit di Blok 460B Bukit Batok West Avenue 9 pada 6 Januari.
Identiti mangsa dilindungi atas perintah mahkamah.
Anak lelaki wanita itu, yang berusia lima tahun, cedera dan dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dalam keadaan sedar.
Kes Quek ditangguhkan ke 8 Mac.
Polis sebelum ini berkata mereka menerima panggilan pada 8.20 pagi pada 6 Januari dan wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Quek ditangkap di tempat kejadian.
Anggota polis dilihat memeriksa sampah di pusat buangan sampah. Pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dirampas.
Jika disabit kesalahan membunuh, pesalah boleh dikenakan hukuman mati.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg