Seorang lelaki yang dikenakan larangan memandu seumur hidup pada 2023 selepas tiga sabitan memandu dalam keadaan mabuk, sekali lagi didakwa mengulangi kesalahan itu pada 2025.

Pada 16 Julai, Lee Shin Nan, 49 tahun, menghadapi lima pertuduhan, termasuk memandu dalam keadaan mabuk dan memandu walaupun telah hilang kelayakan memandu.

Dia turut didakwa menggunakan kereta tanpa perlindungan insurans, gagal memberikan sampel nafas kepada seorang pegawai polis, serta memandu kereta tanpa kebenaran pemiliknya.

Lee didakwa memandu kereta itu tanpa kebenaran pemilik pada 10 September 2025.

Dia dipercayai memandu dalam keadaan mabuk di Airport Road kira-kira pada 1 pagi sebelum ditahan polis.

Lee dituduh gagal memberikan sampel nafas kepada pegawai berkenaan.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan apa yang berlaku selepas itu, namun beliau didapati mempunyai sekurang-kurangnya 135 miligram (mg) alkohol bagi setiap 100 milimeter (ml) darah. Had yang ditetapkan ialah 80 mg bagi jumlah darah yang sama.

Ikat jamin beliau ditetapkan pada $30,000 dan semakan ikat jaminya akan diadakan pada 17 Julai.

Lee pertama kali disabitkan atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk pada 2009, didenda $2,800 dan dilarang memandu selama dua tahun.

Pada 2012, dia dipenjarakan dua minggu, didenda $4,000 dan dilarang memandu selama empat tahun.

Bagi sabitan ketiganya pada Mac 2023, dia dipenjarakan lapan minggu, didenda $10,000 dan hilang kelayakan memandu seumur hidup.

Rayuannya terhadap larangan itu ditolak oleh Ketua Hakim Negara, Sundaresh Menon, pada September 2023.

Menurut statistik Polis Trafik (TP) bagi 2025 yang diterbitkan pada Februari, jumlah individu yang ditangkap kerana memandu dalam keadaan mabuk menurun daripada 1,788 pada 2024 kepada 1,716 pada 2025.

Kemalangan akibat kesalahan itu turut berkurangan daripada 166 kepada 156 kes, namun 12 orang maut sepanjang 2024 dan 2025.

Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya mencapai paras tertinggi dalam tempoh sedekad pada 2025, iaitu 149 orang, berbanding 142 pada 2024.

Jumlah mangsa cedera juga meningkat daripada 9,342 kepada 9,955.

Bagi menangani isu itu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mencadangkan supaya had alkohol pemandu dikurangkan lebih separuh, selain hukuman penjara bagi pesalah kali pertama yang mempunyai paras alkohol darah yang sangat tinggi.

Rang Undang-Undang Akta Lalu Lintas Jalan Raya (RTA) (Pindaan Pelbagai) yang dibentangkan oleh Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, akan menurunkan had alkohol daripada 35 mikrogram (mcg) kepada 15 mcg bagi setiap 100 ml nafas, manakala had alkohol dalam darah dikurangkan kepada 30 mg.

Pesalah kali pertama yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dipenjarakan sehingga setahun, didenda sehingga $10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh dipenjarakan sehingga dua tahun dan didenda sehingga $20,000.