Pemandu yang menggunakan kenderaan untuk membahayakan orang lain dengan sengaja sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah boleh berdepan dengan hukuman penjara sehingga 15 tahun, berserta sebatan dan denda.

Pesalah juga boleh hilang kelayakan memandu seumur hidup, atau bagi sekurang-kurangnya 10 tahun jika terdapat sebab-sebab khas yang ditentukan mahkamah.

Ini sekiranya kesalahan baru itu, yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada pindaan kepada Akta Lalu Lintas Jalan Raya (RTA), diluluskan Parlimen.

Pindaan kepada RTA itu dibentangkan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, untuk bacaan pertama di Parlimen pada 7 Julai.

Antara pindaan lain yang diusulkan kepada akta itu termasuk menjadikan perbuatan memegang telefon bimbit semasa memandu satu kesalahan, dan memperkenalkan kesalahan baru iaitu memandu dengan adanya dadah terkawal, bahan memabukkan atau bahan psikoaktif yang dikesan dalam spesimen darah pemandu.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataannya pada 7 Julai berkata jalan raya di sini semakin kurang selamat.

Antara 2021 dengan 2025, kadar kematian akibat kemalangan trafik meningkat sebanyak sekitar 24 peratus, manakala pelanggaran trafik pula naik sekitar 38 peratus.

“Untuk menangani trend ini, kami akan memperketatkan penguatkuasaan dan hukuman bagi kesalahan trafik,” kata MHA.

Di bawah kesalahan baru memandu dengan sengaja membahayakan orang lain, MHA berkata sebuah kenderaan boleh menjadi senjata bahaya jika ia disalahgunakan.

Di bawah undang-undang hari ini, seorang pemandu tidak boleh disabitkan atas kesalahan membunuh atau homisid salah (culpable homicide) melainkan jika dapat dibuktikan tanpa keraguan munasabah dia berniat untuk membunuh atau mengetahui perbuatan tersebut berkemungkinan besar akan menyebabkan kematian.

Sebaliknya, pesalah berkemungkinan besar akan dituduh di bawah kesalahan memandu secara berbahaya yang menyebabkan kematian, dengan hukuman penjara sehingga lapan tahun untuk pesalah kali pertama.

“Perlu ada peningkatan pencegahan dan hukuman lebih berat untuk kelakuan sedemikian.

“Untuk menangani perkara ini, rang undang-undang memperkenalkan satu kesalahan baru, iaitu membahayakan dengan sengaja menggunakan kenderaan yang menyebabkan kematian atau kecederaan parah.

“Kecederaan parah telah dirangkumkan dalam kesalahan tersebut kerana sama ada mangsa meninggal dunia atau tidak, perkara itu adalah di luar kawalan pesalah,” jelas MHA.

Selain itu, rang undang-undang itu turut meningkatkan hukuman bagi kesalahan memandu secara berbahaya dan memandu secara cuai yang menyebabkan kecederaan parah.

Bagi kesalahan memandu secara berbahaya, hukuman penjara maksimum bagi pesalah kali pertama akan dinaikkan daripada lima tahun kepada tujuh tahun, dan bagi pesalah berulang pula daripada 10 tahun kepada 13 tahun.

Hukuman tambahan bagi kedua-dua kesalahan memandu secara berbahaya dan memandu secara cuai juga akan dinaikkan disebabkan faktor yang memberatkan keadaan.

Pesalah serius, seperti mereka yang melakukan kesalahan ketika memandu dalam keadaan mabuk, akan berdepan dengan hukuman penjara tambahan hingga 18 bulan, dinaikkan daripada satu tahun pada masa ini.

Pesalah serius yang berulang akan menghadapi hukuman penjara tambahan hingga tiga tahun dan enam bulan, berbanding hukuman tambahan hingga dua tahun hari ini.

CONTOH MEMANDU DAN MEMBAHAYAKAN ORANG LAIN DENGAN SENGAJA

Senario 1

Ahmad pandu kereta di jalan raya. Shafiq pandu kereta lain di hadapan Ahmad. Ahmad gerakkan keretanya di hadapan kereta Shafiq dan brek secara mengejut. Ahmad berbuat demikian dengan tujuan membahayakan keselamatan Shafiq.

Shafiq hilang kawalan lalu merempuh Siti yang sedang menunggang motosikal. Kedua-dua Shafiq dan Siti meninggal dunia akibat kemalangan itu. Ahmad bersalah atas kesalahan sengaja membahayakan Shafiq dan Siti.

Senario 2

Borhan pandu kereta di jalan raya. Azman menunggang motosikal di hadapan kereta Borhan. Borhan pandu secara rapat di belakang Azman dan bunyikan hon keretanya berulang kali.

Tindakan Borhan membahayakan keselamatan Azman dan dia lakukan demikian dengan tujuan membahayakan keselamatan Azman. Borhan hilang kawalan lalu melanggar belakang motosikal Azman. Akibatnya, Azman kemalangan dan meninggal dunia. Borhan bersalah atas kesalahan sengaja mendatangkan bahaya.

Senario 3

Aishah memandu kereta di jalan raya. Farid tunggang motosikal. Kedua-duanya mula berlumba antara satu sama lain. Aishah melencong masuk ke lorong Farid dengan tujuan membahayakan keselamatan Farid.

Farid melanggar kereta Aishah. Farid terlempar daripada motosikalnya dan meninggal dunia ekoran kemalangan itu. Aishah bersalah atas kesalahan sengaja mendatangkan bahaya.