Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lesen kedai makan Abu Mubarak di Tampines digantung 2 minggu

Sep 5, 2024 | 12:53 PM
Kedai makan Abu Mubarak Mandi Rice di Tampines telah digantung lesen selama dua minggu dari 3 hingga 16 September.
Kedai makan Abu Mubarak Mandi Rice di Tampines telah digantung lesen selama dua minggu dari 3 hingga 16 September. - Foto FACEBOOK/ABU MUBARAK MANDI RICE

Lesen kedai makan Abu Mubarak Mandi Rice di Tampines digantung dua minggu ekoran pengumpulan 12 mata demerit dalam setahun.

Mata-mata demerit itu diberi atas sebab penjualan makanan tidak bersih dan kegagalan untuk memastikan premis itu bebas daripada infestasi, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Selasa.

Cawangan di bangunan NTUC Income@Tampines Junction itu telah diarahkan untuk menggantungkan operasi dari 3 hingga 16 September, lapor The Straits Times.

Cawangan itu mempunyai hampir 3,400 ulasan di Google, dengan penilaian purata 4.9 bintang.

Syarikat itu mempunyai sebuah lagi cawangan di North Bridge Road.

Restoran itu juga didenda $4,700 pada Julai kerana kesilapan keselamatan makanan, apabila para pelanggan jatuh sakit selepas makan dari cawangan Tampines.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan SFA menerima laporan mengenai 12 kes gastroenteritis radang perut dan usus pada April 2023, termasuk dua individu yang dimasukkan ke hospital.

Secara berasingan, dua lagi kedai makan – Good Eat’s Family Restaurant dan Tong Luck – juga telah digantung lesen dari 3 hingga 16 September.

Good Eat’s Family Restaurant, yang terletak di 1 Tanjong Pagar Plaza, menerima 12 mata demerit kerana gagal mendaftarkan pembantu memastikan premis itu bebas daripada infestasi.

Tong Luck, sebuah gerai makanan di 644 Hougang Avenue 8, juga gagal memastikan premis bebas daripada infestasi.

Kedua-dua kedai makan itu didenda $800.

Pemegang lesen yang mengumpulkan 12 atau lebih mata demerit dalam tempoh 12 bulan mungkin akan digantung lesennya buat tempoh dua atau empat minggu, atau dibatalkan, kata SFA.

Semua pengendali makanan dan pegawai kebersihan makanan, yang bekerja di premis yang digantung, perlu menghadiri semula dan lulus kursus keselamatan makanan yang relevan.

“Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama. SFA ingin mengingatkan pengendali makanan supaya mengamalkan amalan kebersihan makanan dan diri yang baik pada setiap masa,” kata agensi itu.

Ia juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi kedai-kedai makan yang mempunyai amalan kebersihan yang tidak baik, tetapi melaporkan kepada SFA melalui borang maklum balas dalam talian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg